Sunday, April 5, 2009

~ SEWANG PERUBATAN ~

Penjenisan Sewang Perubatan

Secara umum sewang boleh dikelaskan kepada beberapa jenis mengikut keperluan sesuatu upacara seperti Sewang Chenchem, Gamok, Panoh, Penhei, Manjar, Pungei, Tanggei, dan Selombang. Setiap satu ada perbezaan dari segi fungsi sama ada diadakan untuk tujuan perubatan, membuka pantang kematian, keramaian seperti menyambut tetamu dan meraikan perkahwinan, membuka lading, mengawal makhluk-makhluk halus dan sebagainya.

Untuk tujuan mengubati penyakit yang disebabkan oleh racun seperti racun pokok Ipoh dan terkena santau, sewing gamok biasanya diadakan untuk memulihkan pesakit berkenaan. Bagi penyakit-penyakit yang berkaitan dengan semangat seperti kena rasuk, hilang ingatan, hlang semangat dan sebagainya, jenis sewang yang lain boleh digunakan berdsarkan punca penyakit itu terjadi. Oleh kerana kepercayaan yang begitu kuat terhadap kuasa dalaman da penunggu luaran yang dinamakan ‘semangat’ ini, menyebabkan masyarakat Orang Asli hamper mengaitkan seluruh kehidupan mereka dengan elemen semangat tersebut. Contohnya sewang Chenchem dikaitkan dengan semangat sertaroh orang yang telah meninggal dunia, sewang Panoh dikaitkan dengan semangat dan rasukan harimau, sewang Pungei dikaitkan dengan semangat bunga-bungaan, tumbuhan di hutan serta roh puteri gunung dan sebagainya lagi.

Taylor, seorang sarjana dalam bidang Antropologi menggambarkan semangat sebagai ‘satu jenis makhluk yang suka menumpang’ atau ‘makhluk kecil @ halus’ yang boleh menyebabkan keadaan tidak stabil kepada manusia yang ditumpangi samada dari segi fizikal atau mental. Justeru itu, masyarakat Orang Asli sangat mengambil berat terhadap unsur ‘semangat’ kerana ia boleh mempengaruhi kesihatan. Semangat yang terganggu dan tidak dikawal boleh mengakibatkan penyakit. Ini juga adakaitan dengan system kepercayaan masyarakat tersebut yang amat kuat pergantungan mereka terhadap unsur-unsur ‘natural’ dan ‘supernatural’.

Kelengkapan Sewang Perubatan

Dalam sesuatu upacara sewang perubatan, beberapa kelengkapan dan peralatan diperlukan demi mendapatkan hasil yang leibh memuaskan. Kelengkapan ini dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu :

a) Balai Sewang
b) Alat-alat bunyian
c) Pemain alat bunyian, penari, dan penyayi
d) Halaq dan/atau Shaman (Perantara dan Perawat)
e) Material Medica :

i. Tumbuh-tumbuhan
ii. Jampi (lagu sewang)
iii. Lain-lain kelengkapan


a) Balai Sewang

Sewang untuk tujuan perubatan biasanya dilakukan di sebuah balai yang khas digunakan untuk tujuan bersewang. Balai ini diperbuat daripada bahan-bahan semulajadi yang mudah diperolehi di persekitaran tempat kediaman masyarakat ini seperti buluh yang digunakan untuk membuat lantai, daun bertam dibuat atap dan batang pokok serta dahan sebagai tiang serta gelegar. Balai sewang dibina kira-kira 3 kaki tinggi dan tali rotan digunakan untuk mengikat tiap-tiap kayu ini kerana pembinaanya tidak menggunakan paku. Walaupun begitu balai ini tetap teguh dan mampu menampung lebih kurang 30 orang dalam satu-satu masa. Ketika upacara sewang berlangsung, lantai buluh, biasanya dari jenis buluh ‘kiul’ akan memberikan kesan timbal balik, lembut dan beralun biarpun sewang dilakukan beramai-ramai.

Semasa upacara sewang berlangsung, balai ini akan dihiasi dengan pelbagai jenis tumbuhan sehingga hampir memenuhi keseluruhan ruang. Sama seperti bahan binaannya, tumbuhan yang digunakan juga merupakan sumber yang mudah diperolehi di persekitaran mereka samada yang ditanam di sekeliling rumah atau pun dikutip daripada hutan berhampiran.keterangan lebih mendalam mengenai tumbuhan akan dibincangkan di bawah tajuk ‘material medica’. Keluasan yang biasa bagi balai sewang kira-kira 20 x 30 kaki dan dibina tanpa dinding.


b) Alat-alat Bunyian

Perlu ditekankan di sini, sewang dilakukan secara berlagu di mana semangat diseru melalui lirik-lirik lagu yang diperolehi oleh tok halaq di dalam mimpi. Lirik-lirik ini bukanlah hafalan, justeru itubukan sebarangan orang yang mampu melagukan lirik-lirik sewang atau turut dikenali sebagai ‘hilad’.

Mengiringi lagu atau ‘nong’ ialah alat-alat bunyian asas iaitu centong buluh atau ‘awen go’h’ dan gendang atau ‘bataq’. Kadang kala gong turut digunakan. Semasa upacara berlangsung biasanya terdapat 3-5 wanita pada usia peringkat belia yang memegang dua buluh berlainan ukuran pada kedua-dua belah tangan mereka. Biasanya centong buluh diperbuat daripada ruas buluh dari jenis ‘besik’ dan ‘pokwok’ yang berkulit nipis serta mampu menghasilkan bunyi yang menarik. Buluh dalam dua ukuran iaitu panjang dan pendek dipegang secara khusus iaitu buluh panjang dipegang secara khusus iaitu buluh panjang dipegang dengan tangan kiri melambangkan jantan manakala buluh pendekpada tangan kanan melambangkan betina. Kedua-dua buluh ini dihentakkan secara bergilir-gilir pada kayu genalang dari jenis kayu ‘kerog’, kayu ‘jereg’ dan batang kayu perah. Perbezaan panjang buluh ini menghasilkan bunyi yang berlainan dan melalui kemahiran pemainnya, irama yang harmoni serta enak didengar dapat dihasilkan. Perbezaan irama antara rancak dan perlahan adalah ditentukan oleh kepantasan buluh diketuk dan juga dari segi kekuatan ketukan.

Gendang atau ‘bataq’ uga dimainkan leh goongan wanita sama ada menggunakan satu atau dua gendang. Ia diperbuat daipada batang kayu yang ditebuk isinya. Kulit kambing atau kulit biawak yang telah dikeringkan dipasangkan pada kedua-dua hujung gendang. Semasa bersewang, gendang akan dipalu seiring dengan irama daripada hentakan buluh.


c) Pemain alat bunyian, Penyanyi dan Penari

Semasa peaskit dirawat, penglibatan ahli-ahli masyarakat yang lain amat diperlukan supaya upacara dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ketiadaan salah satu elemen sama ada bunyian, penari atau penyanyi akan menggagalkan usaha bersewang. Dalam hal ini, setiap anggota upacara ini ada peranan masing-masing. Untuk tujuan perubatan, tidak semua orang dibenarkan turut serta, hanya mereka yang berwibawa akan dilibatkan. Justeru itu, kebanyakan anggota sewang perubatan terdiri daripada mereka yang telah dewasa serta memenuhi ciri-ciri tertentu yang biasanya dikenal pasti oleh Tok Halaq sendiri.

Penglibatan kaum wanita di dalam upacara sewang perubatan amat ketara. Semapemain alat bunyian terdiri dari kaum wanita, biasanya dua orang pemalu gendang dan 3-5 orang pemain centong buluh. Para penari pula terdiri daripada lelaki dan wanita, biasanya antara 5-7 orang. Selain memaikan alat bunyian, mereka juga bertindak sebagai penyanyi pengiring dengan keunikan yang tersendiri. Jelaskedengaran suara mereka yang lantang dan nyaring, mengulangi baris-baris tertentu dalam ‘nong’ yang dipilih. Kadang kala mereka meniru suara binatang dan burung. Difahamkan juga, selain daripada mengulangi perkataan-perkataan penting yang menjadi kata kunci bagi menarik perhatian ‘semangat’ yang dikehendaki. Tujuannya untuk mempercepatkan penyembuhan si pesakit melalui semangat-semangat yang Berjaya dilembutkan dan dipujuk.

Penyanyi utama di dalam upacara sewang perubatan dipanggil Tok Halaq. Kebanyakan Tok Halaq merupakan golongan lelaki yang berusia melewati 45 tahun, namun demikian difahamkan Tok Halaq wanita pernah wujud tetapi penglibatan mereka sangat terhad dan tidak ketara. Menariknya Tok Halaq inialah peranan besarnya dalam menentukan jenis lagu yang boleh digunakan untuk menyembuhkan penyakit. Dalam soal ini, Halaqlah yang bertindak sebagai pendiagnosis penyakit dan mengenalpasti simptom-simptom bagi penyakit yang dihadapi.

Halaq mendapat inspirasi dan liriklagu melalui mimpi yang diperolehi menerusi petunjuk dari makhluk-makhluk halus. Lirik yang diperolehi dari mimpi ini diingati secara spontan dan meresap ke dalam diri serta jiwa penyanyi dan menjadi sebati dengan halaq. Justeru itu, ketika menyanyi Halaq menghayati lagu dengan sepenuh jiwa, dilahirkan sepenuh perasaan sehingga terlihat melalui gerak dan getar badan. Semua ini sangat rapat kaitannya dengan budaya serta proses kejiwaan yang mendalam maknanya.

Ketika mediagnosis penyakit, Tok Halaq juga bergantung kepada petunjuk dari semangat yang diseru dan dipujuk. Semasa upacara ini berlangsung, banyak pantang larang yang mesti dipatuhi kerana Tok Halaq turut menanggung risiko tertentu sekiranya ada gangguan yang menyebabkan semangat-semangat ini terkejut lalu semangat akan pergi lebih jauh. Akibatnya, penyakit tidadapat diubati dan Tok Halaq akan hilang semangatnya sendiri.

Bagi golongan penari, pergerakan mereka tertumpudikawasan tengah balai dimana di situlah terletaknya gugusan pelbagai jenis daun dan bungaan hutan yang dinamakan ‘tamu’. Fungsinya akan diperjelaskan di bawah tajuk materia medica. Pergerakan penari-penari ini terkawal melalui gerak badan dan melangkah mengikut peraturan berlawanan jamdi bawah ‘tamu’ tadi. Mereka turut mengiringi Tok Halaq dalam nyanyiannya. Gerak tari mereka tidak sukar, mereka melangkah sambil melenggok-lenggokan badan dan tangan dihayun ke kiri dank e kanan tetapi walau demikian, pergerakan ini dilakukan sepenuh penghayatan. Ada setengah penari tidak melangkah mengikut putaran berlawanan jam, mereka sekadar menari pada satu tempat dan bergerak mengikut irama yang dimainkan. Bukanlah luar biasa sekiranya penari-penari ini bagai orang kerasukan, kadang kala mereka melompat dan menggayakan aksi binatang.


d) Halaq dan/atau Shaman (Perantara dan Perawat)

Dalam sesuatu upacara sewang perubatan, orang yang menjadi tumpuan atau ‘master-mind’ adalah Tok Halaq. Pada beliaulah digantung harapan dan menentukan jaya atau gagalnya sesuatu misi mengubati penyakit. Adakalanya, Tok Halaq juga bertindak sebagai Shaman iaitu orang yang merawat pesakit berkenaan tetapi ada juga keadaan di mana Halaq dan Shaman adalah orang yang berlainan. Dalam hal ini Tok Halaq bertindak sebagai perantara dan sesudah semangat yang tepat berjaya dipujuk, ia akan menjelaskan kepada Shaman tindakan-tindakan yang harus dilakukan.

Kedua-dua pihak iaitu Halaq dan Shaman biasanya mempunai ciri-ciri tertentu seperti telah berusia melewati 45 tahun,telah berkeluarga, mahir dengan kehidupan di dalam hutan, mempunyai pengalaman hidup yang luas serta amat faham tentang budaya, pantang larang dan peraturan di dalam masyarakat mereka.
Seperti yang telah diperjelaskan, Halaq memperolehi lagu-lagu sewang melalui mimpi. Biasanya situasi mendapat mimpi ini dikaitkan dengan pertemuan denganorang halus yang cantik wajahnya serta memilikisuara yang halus dan merdu (Orang Bunian). Orang halus ini akan memperkenalkan diri (dari semangat tertentu) dan memberikan lagu-lagu untuk dinyanyikan. Semasa memperoleh mimpi ini, badan penerimanya menjadi seram sejuk dan perkara yang sama berlaku apabila semangat meresapi badan Halaq ketika upacara sewang sedang berlangsung. Getar suara dan tubuh Halaq bukan dibuat-buat sebaliknya ia berlaku secara spontan dan tidak disedari oleh Tok Halaq sendiri.

Semasa membuat diagnosis penyakit, Tok Halaq bergantung kepada petunjuk daripada semangat yang menepati serta menjadi punca kepada penyakit berkenaan. Kecuali penyakit-penyakit yang dapat dikesan puncanya dengan mudah seperti termakan racun, penyakit memerlukan Tok Halaq menjangkalagu-lagu yang dirasakan sesuai dengan semangat penyakit berkenaan. Justeru itu, ketika upacara ini berlangsung pelbagai lagu dan irama kdapat didengar kerana Tok Halaq berusaha menyeru semangat supaya membantu megubati pesakit. Hanya Tok Halaq yang dapat mengenal pasti semangat yang dimaksudkan dan merasakan kehadiran semangat tersebut. Orang lain dapat mengesan kehadiran semangat berkenaan dengan memerhatikan tingkah laku Tok Halaq yang beraksi seperti orang yang kena rasuk.


e) Material Medica

Sama seperti lain-lain kaedah perubatan tradisional, sewang juga mempunyai teknik dan cara rawatannya tersendiri dan dalam hal ini, penggunaan beberapa bahan dan peralatan tidak terkecuali. Di dalam masyarakat Melayu, bomoh sering menggunakan limau nipis, semangkuk air, daun sireh, telur ayam kampung dan sebagainya manakala upacara sewang perubatan pula menekankan kepada beberapa daun hutan yang dipercayai dapat mendorong semangat menghampiri balai sewang dan seterusnya membantu mengubati penyakit. Untuk memudahkan penjelasan,ia akan dibahagikan kepada beberapa perkara iaitu :


i. Tumbuh-tumbuhan

Upacara sewang tanpa tumbuh-tumbuhan tidak lengkap malah ia merupakan agen terapeutik perubatan tradisionalyang penting. Keakraban dengan semangat dan alam menyebabkan masyarakat orang asli kuat bergantung kepada sumber-sumber semulajadi seperti daun dan bunga. Paling ketara adalah penggunaan daunpada balai sewang. Hampir keseluruhan balai dipenuhi pelbagai jenis daun seperti kelapadan batang ubi yang diikatkanpada tiang-tiang balai, daun palas atau ‘kuar’, daun kelapa muda, daun ‘keralat’, daun ‘chalon’, daun ‘sensod’, dan sebagainya digantung di bahagian tengah balai. Hiasan ini dinamakan ‘chenlai’ manakala di bahagian tengah balai digantungkan lingkaran rotan yang dihiaskan pula daun ‘chalon’, daun ‘kuar’, ikatan bunga ‘panggil’, carikan daun perah dan bunga raya, dinamakan ‘tamu’.

Daun kelapa dan batang ubi dianggap mempunyai pengaruh yang kuat dan bertindak seabagai ‘umpan’ untuk ‘memujuk’ semangat yang berada di luar rimba supaya memberi perhatian. Mereka juga berkeyakinan dengan meletakkan banyak daunan di balai sewang akan memudahkan semangat-semangat menghampiri dan berasa selesa dengan persekitaran yang hampir menyerupai keadaan di tempat asal mereka. Semua yang dilakukan ini bagaikan satu ‘penyamaran’ atau mirip menyerupai keadaan sebenar di rimba.

‘Tamu’ berperanan sebagaipusat atau tumpuan utama semangat dari rimba. Ia juga sebagai pewangi penaik semangat dan menjadi tempat semangat berkumpul dan memberi bantuan kepada Tok Halaq supaya dapat menyampaikan lagu dengan lebih baik dan lancar. Mengikut kepercayaan masyarakat Temiar, semangat-semangat yang dipanggil dan diseru oleh Tok Halaq akan datang dan memasuki balai sewang dengan meniti tali-tali rotan yang direntang pada setiap penjuru balai lalu bertumpu pada satu bulatan gelog rotan. Disepanjang laluan ini turut digantungkan beberapa jenis daun dan bunga.

Selain daripada balai, tumbuh-tumbuhan juga dipakai oleh perawat, penari dan pemain alat bunyian. Daun palas dianyam dan dipakai di kepala, diistilahkan sebagai ‘seludang atau tempo’, diikatkan pada pinggang (‘begnegwaq’) dan diselempangkan di badan (‘tenwaq’). Segugus daunan diselit di pinggang, diselit pada sanggul (bagi wanita) dan dipegang atau istilahnya ‘kuwop chekkot bot’ sambil melibas-libaskan daun berkenaan ke kiri kanan, di atas kepala, di badan dan sesekali mencium gugusan ini dengan asyik semasa upacara berlangsung. Suasana seperti ini menyebakan balai sarat dengan tumbuh-tumbuhan dan seolah-olah berada di persekitaran hutan.

ii. Jampi atau Lagu sewang (‘Nong’)

Lagu sewang dibezakan mengikut jenis sewang itu sendiri. Semua jenis sewang boleh digunakan untuk mengubati penyakit, bergantung kepada kesesuaian semangat yang berkenaan. Contohnya di dalam sewang Chenchem, dikatakan terdapat kira-kira 33 jenis ‘nong’, antara lain ialah lagu Puteri Gunung, Semangat Gajah, Semangat Orang Meninggal, Semangat Padiserta lagu-lagu dari Dato’ Ngah Bintang iaitu orang yang pertama dipercayai mendapat dan mengealkan chenchem. Di antara lagu-lagu ini terdapat pelbagai irama, ada yang ceria dan rancak, sayu dan mendayu-dayu, perlahan dan senyap, dilagukan agak keras serta lain-lain lagi.

Dalam usaha menarik perhatian semangat yang tepatbagi sesuatu penyakit, pelbagai lagu akan dinyanyikan oleh Tok Halaq sehinggalah semangat yang dikehendaki meresapi tuuh dan jiwa Tok Halaq dan akhirnya usaha mengubati pesakitakan dilakukan.

Antara lirik atau ‘hilad’ yang digunakan semasa berubat adalah seperti berikut :

Termaklah ma tempat asal
Termaklah ma lengri asal
Termaklah ma beh eh
Termaklah ma nyok eh
Termaklah ma asal nyob..

Maksudnya :
Pulanglah ke tempat asalmu
Pulanglah ke negeri asalmu
Pulanglah ke ayah mu
Pulanglah ke ibu mu
Pulanglah ke asal mu...

Gerek tik nyob bar dengki
Gerek tik nyob bar khianat
Kedak nyob bar khianat ma kandik
Nadoh nyob bar khianat ma
Pentak Raja Nabi Adam...

Maksudnya :
Sekiranya engkau dengki ia
Sekiranya engkau khianat ia
Bukan engkau mengkhianati kamu
Malah engkau telah melanggari janji
Yang telah Raja Nabi Adam lafazkan...

Agok bar dengki weh
Agok bar khianat weh
Koj cukup is eh
Koj cukup taun eh

Maksudnya :
Jangan berdengki
Jangan berkhianat
Hari sudah cukup tahunnya sudah sampai...

iii. Lain-lain kelengkapan

Sewang perubatan turut menggunakan bahan-bahan sampingan untuk menambah tarikan kepada semangat yang dituju. Antara lain ialah ‘og cengcog’ atau air akar hutan, ‘selak kuar’ atau daun palas yang telah diracik halus, kemenyan hutan, padi dari jenis yang baik seperti padi ‘mari’ dan padi ‘kurau’, bertih beras, ‘kelyool’ iaitu sejenis bunga yang mengeluarkan bau wangi, ‘bungak pungei’ iaitu bunga yang ditanam di halaman rumah seperti bunga raya, bunga melor dan sebagainya, ramuan pelbagai jenis bunga gunung dan mangkuk berisi air setra bahan-bahan lain yang diminta oleh Tok Halaq.
Kaedah Rawatan

Memulakan acara Tok Halaq akan membuka balai dengan membuat ucapan yang antara lain menyentuh tujuan sewang diadakan. Selepas itu Tok Halaq akan mula menyanyikan lagu sewang. Pada peringka awal, Tok Halaq akan menyanyikan lagu-lagu yang khusus iaitu lagu-lagu yang diterimanya melalui mimpi sahaja dan dapat dianggap sebagai kepakaran beliau sendiri. Selepas itu, penari-penari lelaki akan mengiringi lagu tersebut disusuli penari-penari wanita. Pesakit dibawa ke balai sewang dan dibaringkan berhampirang dengan ‘tamu’. Selepas itu para penari akan menari mengelilingi pesakit. Apabila semangat telah meresapi tubuh Tok Halaq. Beliau beraksi seperti orang yang tidak sedar lalu bertanya :

“Apa hal panggil saya ke balai ni ?”

Salah seorang wanita yang menjadi tukang centong buluh menjawab :

“ Kami tak panggil apa-apa, cuma kami harap anda orang ‘jelmol’ (gunung) tolong ubatkan orang sakit ni...”

Hubungan Tok Halaq dengan semangat atau ‘makhluk halus’ dapat dikesan melalui jumlah lagu yang dinyanyikan. Sekiranya beliau menyanyikan 5 buah lagu, ini bermakna beliau mempunyai hubungan dengan 5 ‘makhluk halus’. Setiap makhluk halus yang mendatangi balai sewang dijamu dengan pelbagai jenis ramuan bunga (madu) dan minuman air akar kayu. Zahirnya, Tok Halaqlah yang memakan dan meminum berjamuini sedangkan hakikatnya ketika itu Tok Halaq sedang diresapi oleh semangat makhluk halus. Ketika itu yang ada pada Tok Halaq hanyalah jasadnya sahaja.

Dalam masa yang sama kemenyan hutan akan dibakar untuk melihat dan mengesan punca-punca penyakit. Asap kemenyan juga dimasukkan ke dalam tubuh pesakit melaui rongga-rongga tubuh pesakit berkenaan. Selain itu, air dari bunga-bungaan (madu) juga dimasukkan ke dalam tubuh bertujuan untuk memudahkan Tok Halaq mengambil atau menghalau penyakit yang dihidapi pesakit. Sekiranya penyakit pesakit berkait dengan hilang semangat, makhluk halus akan membawa balik semangat berkenaan kepada tuannya semula. Makhluk halus akan bergembira dan berasa senang hati untuk membantu mengubati penyakit apabila mendengar bunyi centong buluh dan suara wanita yang mengiringi nyanyian Tok Halaq. Apatah lagi apabila dijamu dengan bahan-bahan berjamu seperti air akar dan madu bunga gunung.

Satu perkara yang tidak kurang penting di dalam acara ini ialah peranan ibu bapa atau kaum keluarga pesakit. Semasa sewang berlangsung akan timbul soal jawab di antara Tok Halaq dengan keluarga pesakit, umpanya soalan mengenai tempat-tempat yang sering dikunjungi pesakit, sama ada pesakit mempunyai musuh dan sebagainya. Ibu bapa pesakit juga memainkan peranan yang besar sebelum acara sewang perubatan dilangsungkan.

Sebenarnya ada dua kaedah dalam menentuka cara mengubati penyakit sama ada ia dikesan sendiri oleh Tok Halaq yang bermimpikan semangat pesakit berkenaan atau Tok Halaq menerima rayuan dari keluaga pesakit untuk mengubati pesakit berkenaan. Dalam situasi pertama, sebaik saja mendapat mimpi, Tok Halaq pada keesokan harinay akan menceritakan perkara tersebut kepada isteri beliau. Isteri tok Halaq kemudiannya dengan cara yang beradat akan ke rumah si pesakit lalu menceritakan perkara berkenaan kepada pihak keluarga. Setelah mengetahui perkara tersebut, keluarga pesakit akan bertanya jenis-jenis ramuan yang diperlukan oleh Tok Halaq semasa bersewang. Ramuan ini adalah berbeza mengikut jenis penyakit. Sekiranya pesakit dirasuk hantu/penunggu, ramuannya agak sukar diperolehi kerana ia memerlukan bahan ramuan yang wangi dari pelbagai jenis bunga gunung.

Dalam situasi yang kedua pula, rayuan mengubati pesakit datangnya dari pihak keluarga dan dalam hal ini ibu pesakit akan menyampaikan hajat kepada Tok Halaq. Tok Halaq sebaik-baiknya pada waktu pagi ketika matahari sedang naik. Ibu pesakit perlu menjelaskan sakit anaknya, bagaimana penyakit dihidapi, lama sakit ditanggung dan sebagainya. Setelah restu diperolehi, Tok Halaq akan memberi jenis-jenis ramuan yang perlu pihak keluarga pesakit sediakan.

Perlu ditekaknkan di sini, acara sewang hanya dilakukan pada waktu malam antara jam 8 malam sehingga 6 pagi. Ia boleh berlaku sehingga beberapa malam berturut-turut disebabkan oleh beberapa perkara, antaranya ialah ia bergantung kepada tahap kekuatan semangat pesakit sendiri samada ia akan mendatangkan kesan sampingan atau tidak sekiranya penyakit dibuang secara serta-merta. Sekiranya diri pesakit sendiri kurang bersedia, ia akan menyebabkan tubuh pesakit menjadi semakin lemah, tidak berdaya dan ditimpa petaka lain.
Pantang Larang Semasa Bersewang

Semasa sewang berlangsung beberapa pantang harus dipatuhi, jika tidak penyakit tidak dapat diubati iaitu :

a) Orang-orang yang tiada kaitan dengan upacara ini tidak dibenarkan menyertai dan berada di balai sewang kecuali dengan kebenaran Tok Halaq sendiri. Orang luar yang tidak berkaitan dipercayai boleh menghalang semangat menghampiri balai dan tidak dapat memasuki tubuh Tok Halaq. Sekiranya Tok Halaq memberikan kebenaran, orang luar ini mesti menunggu sehingga acara selesai, tidak boleh turun naik balai dan tidak dibenarkan tidur.

b) Sewang mesti dilakukan di dalam gelap atau dalam cahaya yang samar-samar, bergantung kepada keseriusan sesuatu penyakit itu. Tujuannya untuk memudahkan semangat mendatangi Tok Halaq kerana suasana gelap dipercayai menjadi dunia ‘makhluk halus’. Oleh yang demikian semasa sewang perubatan berlangsung orang luar tidak dibenarkan mengambil gambar kerana cahaya akan mengejutkan semangat lalu melarikan diri semakin jauh. Semangat ini hanya dapat memerhatikan acara ini dari luar tanpa dapat membantu.

c) Suasana persekitaran mestilah tenang dan sunyi. Hanya suara dari bunyian dan kelengkapan sewang saja dibenarkan. Bunyi bising samada dari perbualan, kanak-kanak menangis, bunyi ayam atau kucing, salakan anjing dan sebagainya akan menggagalkan usaha mengubati penyakit malah dikatakan salakan anjing boleh mengejutkan Tok Halaq lalu melompat dari atas balai dan menghilangkan diri di hutan.

d) Sebarang pergerakan di bawah balai sewang ( di atas tanah) juga tidak dibenarkan termasuklah pergerakan manusia atau binatang. Semua orang dikehendaki berada di dalam rumah masing-masing kerana dipercayai pada masa tersebut banyak semangat-semangat berkeliaran termasuklah semangat jahat.


Pantang Larang Bagi Pesakit

a) Semasa berpantang, pesakit hendaklah dijauhkan dari bunyi bising dan hendaklah sentiasa berkeadaan tenang. Pesakit juga perlu mengelak menghidu bau-bau yang pedih seperti bau lada, bawang dan minyak.

b) Pesakit tidak boleh dikejutkan dengan bunyi kuat seperti letupan kerana dipercayai akibat dari sentakkan tersebut semangat pesakit semakin lemah.

c) Pesakit tidak boleh mandi bersabun, tidak dibenarkan berjalan di bawah panas matahari pada waktu tengah hari.

d) Keluarga pesakit tidak dibenarkan menebang pokok pisang atau pisang masak malah dalam keadaan yang lebih ekstrim, seluruh penduduk kampung dilarang berbuat demikian.

e) Keluarga pesakit yang baru balik dari ladang atau berburu hendaklah memanaskan badan mereka di dapur sebaik saja tiba di rumah.

Tempoh berpantang bagi pesakit seseorang pesakit bergantung kepada keseriusan penyakit yang dihidapi tetapi lazimnya antara 7 – 10 hari.



Adat Menutup Pantang (‘Certas/Cerentas’)

Apabila tempoh berpantang sudah tamat dan pesakit telah beransur pulih, upacara menutup pantang perlu diadakan. Antara lain ialah :

a) Pesakit hendaklah dibawa ke rumah Tok Halaq dengan membawa bersama beberap bahan seperti satu ikat daun palas beserta ramuan berbagai jenis bunga yang diletakkan di dalam mangkuk atau pinggan berwarna putih serta wang seberap yang termampu atau sehelai kain pelikat.

b) Sebaik-baiknya acara ini dilakukan pada waktu pagi, sebelum matahari naik.

c) Semasa hendak memberikan ‘hadiah’ kepada Tok Halaq, perkataan yang perlu disebut ialah “ini hadiah yang Tok Halaq tolong itu hari” dan hendaklah mengelak malah dilarang sama sekali menggunakan perkataan “ini cerentas (hadiah penutup pantang)”. Mengikut kepercayaan masyarakat Temiar sekiranya perkataan ini disebut ia menyebabkan Tok Halaq terkejut dan boleh memudaratkan diri Tok Halaq sendiri kerana perbuatan berkenaan menggambarkan Tok Halaq mengenakan bayaran. Keadaan ini membuatkan ‘makhluk halus’ atau ilmunya marah.

~ LAGU SEWANG ~

Lagu pembukaan sewang ialah lagu Jo’o Balai. Jumlah lagu yang dinyanyikan bergantung kepada kumpulan. Persembahan sewang yang dibuat oleh kumpulan Miah memainkan Sembilan buah lagu pada malam yang diadakan persembahan itu. Ini diikuti oleh lagu “Tepung Tawar”, “Rio Rado”, “Cari Jodoh”, “Rutan Kalang”, “Puteri Tanjung”, “Joget Dandong”, “Pulai Bergantung” dan “Moyang Gading”.

Untuk menyambut Hari Moyang disediakan juga satu sangar atau para di mana akan diletakkan hidangan untuk nenek moyang. Sangar member maksud rumah, yakni rumah untuk nenek moyang walau apa pun peristiwa atau keramaian sama ada kenduri kendara atau upacara lain. Sangar penting didirikan untuk meminta kebenaran dan restu daripada nenek moyang. Di dalam/atas sangar ini dihidangkan sirih tembakau, kuih dan serbaneka jamuan lain untuk santapan nenek moyang. Apa-apa permohonan daripada nenek moyang mesti didahului dengan pembinaan sangar.


Lagu Jo’o Balai

Iii Ai, Ini lagu balai, Jo’o Balai (2x)
Bukan lebah, sebarang lebah
Lebah terang kayu kanji
Bukan sembah sebarang sembah
Sembah lagu penghibur hati

Iii ai, ini lagu balai, Jo’o Balai (2x)
Bukan kanji sebarang kanji
Kanji tumbuh di tengah taman
Bukan nyanyi sebarang nyanyi
Nyanyi lagu zaman ke zaman

Iii ai, ini lagu balai, Jo’o Balai (2x)
Dan wakil hiding masak mari umpun buluh
Cari kayu rendang, hujan panas tumpang teduh

Iii ai, ini lagi balai, Jo’o Balai (2x)
Bukan buluh sebarang buluh
Buluh daun berlipat-lipat
Bukan teduh, sebarang teduh
Teduh aku teduh bertempat

Iii ai, ini lagu balai, Jo’o Balai (2x)
Jo’o Balai (4x)


Menurut informan, lagu ini bermaksud untuk menyambut tetamu seprti tok batin, tok jenang, dan penghulu balai. Ini seperti lagu pembuka upacara. Lagu “Tepung Tawar” pula adalah untuk menepung tawar upacara sewang. Jo’o bermaksud tarian dan dalam bahasa orang asli, yang dihentak-hentak itu bermaksud “jo’o”.

Selepas setiap lagu dinyanyikan, kumpulan akan berhenti dan berehat.


Sejarah Lagu Jo’o Balai

Menurut informan, Lubuk Pulai adalah perkampungan orang asli yang lampau. Penduduk di sini bersuka ria semasa musim buah-buahan seperti musim buah rambutan, tampoi, buah larah, buah duku. Pada masa dahulu mereka menbuat tapai dan air tuak di mana mereka minum-minum, mabuk dan bersuka ria berhari-hari lamanya, kerap kali selama tujuh hari tujuh malam.
Mereka juga mengguna kulit ular sebagai tali pinggan, kulit harimau sebagai pakaian dari perhiasan diri mereka. Mereka juga pakai topi, selepang tetapi apabila mereka memakai perhiasan yang diperbuat daripada kulit binatang liar mereka sudah melanggar pantang larang tradisi orang asli, kerana perbuatan ini boleh mendatangkan bencana, seperti rebut celau (taufan).

Ribut celau ini berlaku sebab mereka disumpah oleh Sang Kelebu yang berasal dari punca mata air. Taufan yang dimaksudkan bukanlah taufan biasa tetapi bencana atau angkara akibat sumpahan dan kemurkaan Sang Kelebu. Sang Kelebu berasal daripada lubuk-lubuk dan punca air. Apabila orang mengguna kulit ular atau harimau, dan mereka hilang diri dan ketawa akan segalanya, mereka disumpah oleh Sang Kelebu, supaya mereka tenggelam dan menjadi lubuk. Apabila disumpah , rebut celau pun berlaku, dengan awan yang berwarna biru, hitam dan kelabu, kuning dan sebagainya yang senantiasa berubah-ubah.

Kilat sambung-menyambung dan petir pun berbunyi. Angin bertiup dengan begitu kencang sekali dan tanah menjadi lembut seperti bubu atau lubuk. Balaipun tenggelam. Sang Kelebai tidak mengusik semua orang, hanya mereka yang membuat permainan dan yang menggunakan kulit binatang liar. Bukan sahaja mengguna kulit binatang liar menjadi satu pantang larang yang harus dipatuhi, binatang juga tidak boleh dibawa masuk dalam permainan sewang. Pantang larang ini mesti dipatuhi dan hanya terhad kepada pakaian sahaja.


Lagu Puteri Tanjung

Iii ai (5x)

Bunga kembang pagi
Bunga kembang petang

Jangan susah hati
Jangan rasa bimbang
Jangan susah hati
Jangan rasa bimbang

Iii ai (5x)

Ini lagu
Puteri Tanjung
Turun ke taman
Sambil berdendang

Iii ai (4x)

Satu kaum
Berbilang bangsa
Mari kita, suka ia
Mari kita, suka ia

Iii ai (4x)

Puteri Tanjung
Lemah gemalai
Pusing keliling
Sambil berlengang
Pusing keliling
Sambil berlengang

Iii ai (4x)

Ini lagu, Puteri Tanjung (3x)


Sejarah Lagu Puteri Tanjung

Menurut informan, Puteri Tanjung adalah puteri orang asli yang duduk di tepi tanjung. Setiap tanjung mesti ada seorang puteri tetapi puteri ini tidak kelihatan. Tanjung di mana terdapat seorang puteri airnya mesti berpusing. Apabila orang pergi memancing ikan mereka merasa amat enggan sekali untuk meninggalkan tempat itu untuk pulang ke rumah mereka. Mereka seolah-olah begitu terpikat dan tidak ingin pulang ke rumah mereka. Ada kalanya mereka tidak mendapat ikan kerana puteri tidak memberi kebenaran untuk memancing dan akan menyuruh mereka pulang sahaja. Mereka akan gagal mendapat ikan langsung.

Menurut kepercayaan, semua ini berlaku pada masa dahulu kala, dan sekarang ini tidak terdapat lagi puteri tanjung kerana pencemaran sungai. Dahulu memang setiap sungai terdapat tanjung dan dipercayai setiap tanjung pula mempunyai seorang puteri. Tetapi sekarang sungai diluruskan dan tiada lagi tanjung. Puteri tidak ramai, tetapi akan berjalan dari satu tanjung ke tanjung yang lain. Andai kata terdapat puteri di tanjung itu, maka tempat itu akan berbau wangi sekali.


Lagu Pulai Bergantung

Pagi, pagi hari, aku pergi mengail ikan
Kelu, kerenga aku bawa buat umpan
Mari kawan-kawan, kita pergi mengail ikan
Di lubuk Pulai Bergantung, Pulai Berlinang
Aku kayu pauk dendong, dendong
Aku ajak Ong
Aku kayu pauk dendong, dendong
Aku ajak Ong
Cubalah kawan lihat
Di sudut air sana
Sang Kelembai sedang bermain dengan ikannya
Ada ikan tapah, ikan baung, ikan petutu
Lihatlah ikan sebaru, meniti batang

Aku hanya pauk dendong dendong } (2x)
Aku ajak Ong } (2x)

Menurut informan, lagu ini juga seperti lagu-lagu lain boleh dipanjang atau dipendekkan dengan menambah atau mengurang rangkap pantun yang didendangkan. Lagu ini boleh didendang selepas lagu “Jo’o Balai”, “Lagu Tepung Tawar” atau apa-apa lagu pun. Lagu ini khusus untuk hiburan di samping mengingat kawan-kawan supaya sentiasa harus bekerjasama; kalau ada rezeki yang baik mesti sentiasa mengingati dan menjemput kawan-kawan bersama untuk berkongsi menikmati rezeki itu.


Sejarah lagu Pulai Bergantung

Menurut informan, lagu ini dilagukan berdasarkan cerita orang tua dahulu kala. Ceritanya begini: Pada masa dahulu kala di kampung/kawasan orang asli terdapat sebuah paya/lubuk atau danau di mana terdapat serbaneka jenis ikan dan pokok-pokok yang begitu cantik sekali. Di tengah-tengah danau ini pula tumbuh sebatang pokok pulai yang daunnya rendang. Pokok ini seperti pokok bonsai yang rendah dan terapung kerana tidak mempunyai akar atau tunjang yang khusus.

Pokok ini seolah-olah hanyut di tengah-tengah danau itu. Ada pula cerita yang mengatakan bahawa di tengah tasik ditumbuhi pokok pulai yang rendang dan apabila matahari terbit, pokok pulai ini mula condong ke arah matahari terbit. Apabila matahari terbenam pokok pulai ini condong ke arah yang sebaliknya. Walau apa pun arah yang diambil terdapat bunyi-bunyian. Di dalam tasik terdapat serbaneka jenis ikan. Sesungguhnya pokok pulai ini adalah pokok puaka yang dikuasai oleh kelambai.

Tempat ini dipercayai mempunyai penunggu. Justeru kalau ada yang ingin ke sana, tidak boleh pergi seorang diri sahaja, tetapi mesti berteman dan kalau boleh pergi beramai-ramai. Sebab kalau pergi seorang sahaja mungkin akan sesat. Ini berlaku sebab, walaupun berjaga-jaga dan memotong dahan dan ranting sebagai petanda, apabila berpusing sahaja semua akan menghilang dengan begitu senang sekali.

Justeru orang boleh jadi sesat. Ada sesetengah orang berpendapat bahawa yang tempat itu adalah tempat di mana pulai bergantung. Kerana itu terdapat banyak ikan. Ada pula orang yang bercerita bahawa di tempat itu ikan tapahnya amat besar, seperti macam ada puaka kerana ikan tapah itu sungguh besar dan mempunyai buah dada, macam orang perempuan! Begitu juga dengan ikan petutu yang juga amat besar. Namun begitu, bagi mereka yang suka memancing tempat ini amat istimewa sekali.

Berdasarkan cerita orang tua, Yau anak Nyok telah menciptakan lagu ini.


Lagu Cari Jodoh

Yak, yak, yak, iyak, iyak (2x)
Siapa hendak batang jelutung
Nyawa uwang tinggi upak
Aku nak batang jutu
Iyak, iyak, yak, yak, yak, iyak, iyak

Sapa hendak batang bayir } *
Nyawa uwang tinggi bangkit }
Aku nak batang bayir }
Iyak, iyak, yak, yak, yak, iyak, iyak }
Sapa hendak ayam katik }
Nyawa uwang jenih kontot }
Aku nak ayam katik }
Iyak, iyak, yak, yak, yak, iyak, iyak }
Hilang lagu yik zaman dahulu }
Cari jodoh
Yak, yak, iyak, iyak
Siapa hendak batang jelutung
Nyawa uwang tinggi upak
Aku nak batang jutu
Iyak, iyak, yak, yak, yak, iyak, iyak

*Ulang




Sejarah Lagu Cari Jodoh

Menurut informan, lagu Cari Jodoh tidak mempunyai sejarah berdasarkan cerita lisan atau mitos orang asli. Lagu ini hanya dicipta untuk bersuka ria sahaja kerana sewajarnyalah kaum muda mudi akan berkahwin dan berkeluarga. Mencari jodoh adalah sesuatu yang lumrah.


Lagu Joget Dandong

Dandong, dandong, dandong, dandong, dandong, dandong
Dandong laa dandong, dandong, dandong, dandong, dandong
Dandong, dandong, dandong, dandong, dandong duya, dandong, dandong, Dandong, dandong la dandong
Baru mirah baru, barulah bini makan masuk
Mari makan, encik tuan pun baru
Dia baru, sayapun baru, sayang
Baru sekali juga kita bercakap
Tandok lami ……
Kalau binar kasihkan kami
Kalau binar kasihkan kami sayang
Pukullah empat datang kemari

Menurut informan, pantun lain boleh diselitkan ke dalam lagu ini. Ketiga-tiga lagu di atas dinyanyikan oleh Yau anak Nyok yang berumur 53 tahun. Lagu yang berikut ini dinyanyikan oleh Reh bin Enyob. Sebelum Reh mendendangkan lagu pilihannya, beliau memakan sirih dan pinang dahulu. Reh memilih untuk menyanyi “Lagu Rutan Kalang”.


Lagu Rutan Kalang

Eng, eng, eng, eng, eng, eng, eng, eng, ê,ê
Eng, eng, eng, eng, eng
Rutan kalang, lintang pukang (3x)
Pergi pagi, pulang petang
Penat kaki, lintang pukang
Naik batang, turun batang
Nak dapat rutan sebatang
ê, ê, ê, ê, ê, ê, ê, ê, ê, ê, ê, ê, ê, ê
Rutan kalang, lintang pukang (2x)
Rutan kalang, lintang katak
Rutan kembong, hutan semambu
Rutan tunggal, langkah aku
Yang tinggal
ê ê ê ê ê, ê ê ê ê ê, ê ê ê ê ê

Lagu ini boleh dipanjang ataupun dipendekkan dengan menambah atau mengurangkan rangkap pantun.


Sejarah Lagu Rutan Kalang

Menurut informan (Reh), pada masa dahulu orang tua selain daripada berhuma, menanam padi, masuk hutan atau menangkap ikan, juga pergi mencari rotan. Malah sebelum mereka pergi bercucuk tanam, mereka mencari rotan terlebih dahulu. Walau apapun aktiviti mereka, mereka mesti terlebih dahulu cuba melagukan sesuatu sebelum melaksanakan tugas mereka: kayuh perahu, bersampan atau masuk hutan.

Terdapat pelbagai jenis rotan seperti rotan kalang, rotan getah, rotan mambu untuk buat tongkat, rotan tunggal yang hanya kecil kerana dia hanya sebatang, dan tidak mempunyai rumpun. “Lagu Rutan Kalang” hanyalah dinyanyikan sementara pergi mencari rotan dan semasa mengambil rotan dan tidak mempunyai cerita yang lebih awal berdasarkan tradisi lisan orang asli. Mereka pergi mencari rotan secara berkumpulan.

~ PEMBINAAN BALAI ~

Sewang diadakan di ruang pementasan yang khusus, justeru itu sebuah balai harus didirikan sebagai tempat permainan. Pada waktu subuh, tiang sulung mesti ditegakkan. Semasa menegakkan tiang, keadaan keliling mestilah sesunyi-sunyinya. Andai kata terdapat sebarang bunyi, walaupun bunyi burung, tiang sulung tidak boleh ditegakkan.

Upacara mendirikan balai mesti ditangguhkan kepada hari lain. Burung yang paling dihindari ialah burung gagak dan burung hantu yang dipercayai akan membawa kecelakaan. Andai kata terdapat bunyi burung gagak semasa menegakkan tiang sulung, upacara ini mesti dibatalkan, kalau tidak semasa persembahan pasti akan terjadi kecelakaan.

Atap balai diperbuat daripada daun serdang. Proses ini dinamakan pasang takau atau pasang atap. Tiang balai dibuat daripada kayu mahang. Walau bagaiamanapun jenis kayu apa pun boleh diguna pakai. Yang penting untuk pembinaan balai ialah pokok ribu-ribu, daun kelapa dan buluh. Pokok ribu-ribu penting digunakan sebagai hiasan balai untuk membawa tuah dan rezeki seperti yang diserlahkan daripada perkataan “beribu-ribu”. Balai yang siap dibina mesti dihiaskan, dengan seaneka jenis perhiasan yang dibuat daripada daun kelapa yang dianyam. Tiang sulung dihiaskan dengan bunga pinang (yang berbentuk bulat), bunga serai (bunganya kecil-kecil), bunga teberau, bunga keris, bunga jering, dan bunga gabuk. Bunga utama ialah bunga subang yang dilekatkan kepada tiang balai. Balai juga dihiaskan dengan tali dendan. Batang kayu boleh diambil daripada jenis kayu apa pun.

Sewang dipercayai bermula daripada nenek moyang mereka sebagai satu upacara yang diadakan apabila kaum keluarga berkumpul, terutamanya semasa musim buah atau semasa menuai padi. Kaum keluarga akan berkumpul dan mengadakan upacara Sewang tari-menari. Mereka menghidangkan buah-buahan (semasa waktu buah-buahan) dan menjamu selera berserta dengan hasrat menunjuk kesyukuran.

Mengikut mitos orang asli, Sewang mula-mula menjelma dalam mimpi dari pulau Buah (Syurga). Ada pula pendapat yang mengatakan bahawa pengetahuan tentang Sewang wujud sejak dahulu kala dan diketahui sejak turun temurun sebagai satu tradisi orang asli. Sewang bermaksud tari-menari . Pada zaman dahulu kala dipercayai bahwa apabila mereka bermain Sewang, mereka mendapat rahmat daripada Pulau Buah. Terdapat beraneka jenis Sewang seperti Sewang untuk perubatan, Sewang untuk kenduri kendara, Sewang untuk menyambut hari moyang. Sewang menyambut hari moyang dilaksanakan dengan lagu-lagu upacara untuk untuk meraikan nenek moyang orang asli. Dalam persembahan Sewang ini terdapat beberapa buah lagu yang dinyanyikan.

~ SEWANG DAN SAWAI ~

Maksud sewang yang sebenarnya memang sentiasa diperdebatkan oleh para pengakji. Terdapat pengkaji yang menyatakan bahawa sewang ialah satu upacara pengubatan tradisional yang melibatkan kegiatan kedukunan dalam konteks institusi kepercayaan yang sacral. Sewang dikaitkan dengan ritual dukun memanggil kehadiran makhluk halus yang baik untuk membantunya melawan makhluk halus jahat yang telah mencetuskan gangguan penyakit tarhadap pesakit.

Informan utama memberi tahu bahawa sewang tidak harus dikelirukan dengan upacara/ritual pengubatan yang dikenali di kalngan komuniti Temuan sebagai sawai. Komuniti Mahmeri memanggil upacara ini sebagai berbantu. Kekeliruan ini timbul sebab ada di kalngan dukun sawai, untuk meringkas dan memudahkan penerangannya kepada pengkaji upacara ini, menggolongnya juga sebagai sewang. Ini ialaga kerana upacara sawai biasanya digandingi oleh permainan sewang. Sawai bukanlah satu upacara tari-menari atau nyanyian.

Dalam upacara sawai yang sebenarnya, dukun yang mengetuai upacara ini membuat satu ‘jerumun’ daripada daun segolong yang dianyamkan. Jerumun ini kemudiannya diletak di lokasi tertentu dan ditimbuni dengan daun pucuk dan daun lebak yang berbau wangi. Kemudian dukun akan mengetuai sekumpulan warga komuniti yang berkenaan berjalan mengelilingi jerumun tersebut dengan tujuan untuk menjadi lupa atau menurun. Tali dandan yang menghiasi tempat upacara sawai dipercayai boleh mengeluarkan bunyi dengan sendirinya, termasuklah bunyi seperti suara manusia. Ini ialah ‘tali angin’ yang berupaya mengeluarkan pelbagai bunyi. Pesakit yang diubati ditempatkan di satu lokasi berhampiran dengan jerumun tersebut. Dalam rituai sawai ini, orang yang menyanyi dan menari diiringi oleh alat muzik, yang juga diperbuat daripada buluh yang bertali, yang dikenali dengan kerantik. Sawai bermula dengan nyanyian dan tarian mengelilingi jerumun bertujuan menemukan makhluk halus yang baik dengan makhlus halus yang jahat dengan harapan bahawa makhluk halus yang jahat itu akan dapat dikalahkan oleh yang baik.

Maklhkuk halus yang baik akan memasuki jasad dukun, manakala makhluk halus jahat akan memasuki jasad pembantu dukun. Perlawanan antara makhluk halus jahat dan baik ini terjadi dalam bentuk dialog dan peperangan lisan antara dukun dan pembantunya yang sedang menjadi lupa atau menurun. Apabila makhluk halus jahat dapat dikalahkan, iaitu setelah pembantu dukun memohon maaf dan berjanji meninggalkan jasad pesakit, makka pesakit akan dapat dipulihkan semula. Pembantu dukun akan sedar kembali dari keadaan dirinya yang menjadi lupa itu.

Informan member tahu bahawa pada masa sekarang ini amat sukar untuk mendapat dukun yang boleh mengadakan upacara sawai yang memerlukan nyanyian lagu dan jampi yang tersendiri yang berupaya memanggil makhluk halus baik dan jahat. Dukun biasa (iaitu dukun upacara perkahwinan dan keraian) tidak berupaya mengendalikan proses sawai kerana apabila makhluk halus yang hadir ini meresap ke dalam jasad dukun itu dan pembantunya, dia harus berupaya membuatkan makhluk halus tersebut meninggalkan jasad mereka berdua dan menghantarnay pulang ke tempat asalnya. Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan dukun dan pembantunya tidak dapat dipulihkan daripada keadaan lupanya itu. Jika hal ini berterusan maka nyawa dukun dan pembantunya itu turut terancam.

Kejayaan melakukan upacara sawai biasanya diikuti dengan diadakan permainan sewang. Sawai tamat setelah makhluk halus meninggalkan jasad dukun, dan pesakit mula memperlihatkan proses pemulihannya. Sewang bermula apabila penyanyi, pemain muzik buluh tabuh dan penari menjalankan kegiatan masing-masing. Oleh itu, pada lazimnya, upacara sawai akan diteruskan oleh permainan sewang. Namun begitu, permainan sewang boleh diadakan tanpa didahului oleh upacara sawai. Hal ini memperlihatkan betapa rapatnya hubungan antara sawai dan sewang dalam komposisi budaya Orang Asli.

~ SEWANG : SENI PERSEMBAHAN ORANG ASLI ~

Sewang ialah satu jenis ‘seni permainan’ ( main sewang) yang dihasilkan oleh komuniti-komuniti Orang Asli di Malaysia yang telah dikenali umum. Seni permainan ini sebagai satu keseluruhan, merupkana satu himunan kegiatan dan proses astetika Orang Asli yang melibatkan penyediaan alat muzik buluh tabuh (yang diperbuat daripada buluh pelbagai saiz, yang juga dipanggil kong-kong atau cat tong oleh komuniti lain), kerja-kerja pembinaan dan penghasilan balai permainan, pembinaan sanggar (tempat persinggahan roh nenek moyang), pembuatan kostum (yang diperbuat daripada kulit kayu dan anyaman mengkuang), anyaman dendan (daripada daun kelapa), penyediaan makanan dan minuman dan sebagainya. Sebagai satu ekspresi kesenian dan estetika Orang Asli, sewang melibatkan nyanyian, tarian dan pemaparan simbol-simbol identity harian )raga rotan, beliung, sumpitan dan sebagainya) mereka sewaktu menari.
Pendeknya, dalam keseluruhan tahap penyediaan dan kelangsungan permainan sewang ini, sebahagian besar daripada anggota komuniti yang berkenaan turut terlibat. Walaupun pada waktu permainan berlangsung, terdapat kumpulan orang yang bergiat sebagai pemain dan kumpulan lain yang menjadi penonton, namun pada hakikatnya, mereka yang kelihatan duduk sebagai penonton itu adalah ‘pemain’ pada tahap persediaan sewang tersebut. Oleh itu dalam keseluruhan proses permainan sewang, membahagikan anggota komuniti itu sebagai pemain dan penonton secara ekslusif adalah kurang tepat. Bergantung kepada keadaan, kumpulan dewasa dalam komuniti Orang Asli, boleh menjadi pemain dan penonton secara silih berganti.

Dan pada satu waktu tertentu, setiap anggota komuniti berkenaan pernah menjadi pemain sewang, sama ada sebagi penyanyi, penari, pemain musik, penganyam dendan, pembina balai sewang, Pembina sanggar, penyedia unggun api dan sebagainya. Pembinaan sanggar dan penyediaan unggun api sebelum permainan bermula boleh dikatakan menaikkan semangat darjat seni sewang ini ke tahap yang kudus atau sacral. Ini ialah kerana sanggar dan unggun api ,enjadi alat yang mengundang roh nenek moyang untuk turun ‘turun’ bermain.

Permainan sewang boleh berubah menjadi ‘persembahan’ sewang jika segala nyanyian, tarian, tiupan serunai bamboo dan hentakan buluh tabuh dipersembahkan kepada penonton asing, terutamanya di tempat yang asing, jauh daripada perkampungan komuniti yang berkenaan. Sering kali juga komuniti Orang Asli terttntu diundang dan dibayar oelh agensi-agensi kerajaan untuk ‘mempersembahkan’ sewang mereka kepada khalayak bukan Orang Asli ataupun kepada kumpulan pelancong. Dalam konteks ini, sewang telah menjadi satu bentuk ‘seni persembahan’ yang pada umumnya telah ketiadaan komponennya yang tulen dan kudus. Kekosongan seni persembahan ini terjadi kerana sewang tidak dimainkan dengan melibatkan sebahagian besar anggota kominiti Orang Asli yang berkenaan.

Selain itu, dalam persembahan tersebut, roh nenek moyang tidak dijemput datang. Malah, sanggar yang menjadi tempat persinggahan roh juga tidak dibina di tempat persembahan. Oleh itu, roh nenek moyang tidak menjadi pemain dan penonton dalam persembahan ini. Dengan itu, seni persemabahan sewang untuk tontonan khalayak luar komuniti ini ternyata ketiadaan ansur sacral dan ketulenannya.

# TARIAN SEWANG #




Di kalangan cabang-cabang kehidupan komuniti Orang Asli, aspek kesenian dan estetikanya boleh dianggap sebagai aspek yang plaling berotonomi. Ini ialah kerana secara relatifnya, kehidupan ekonomi, politik dan pendidikan Orang Asli boleh ditakan telah sekian lama semakin terikat kepada budaya aliran utama masyarakat lain yang lebih diminan. System kepercayaan mereka juga telah lama disaingi malah didominasi oleh agama Islam, Kristian dan Buddha menerusi kegiatan pendakwahan.

Namun begitu, sama ada komuniti Orang Asli memilih bentuk dan isi kesenian hasil ciptaan tradisi mereka sendiri ataupun memilih ragam kesenian ‘orang asing’ adalah terserak kepada cita rasa dan otonomi mereka sendiri untuk membuat pilihan. Secara hipotetikal, jika mereka mengamalkan apa yang diwarisi daripada khazanah tradisional mereka semata-mata, maka budaya komuniti berkenaan dapat dianggap sebagai budaya yang tertutup. Namun begitu, jika mereka menerima unsure-unsur budaya lain, maka tentulah implikasinya bahawa budaya mereka itu telah terbuka. Keterbukaan ini akan menghasilkan budaya bentuk baru gubahan mereka sendiri.
Bagi komuniti Orang Asli yang hidup jauh di pedalaman hutan belatara, tentulah mereka kelihatan lebih cenderung mempertahankan tradisi mereka sepenuhnya. Dan dalam konteks ini, tidaklah menjadi satu isu teoritis untuk mencari jawapan kepada persoalan sejauh mana komuniti yang terpencil ini bersedia menerima perubahan dan modeniti. Sebaliknya bagi komuniti Orang Asli yang tinggal berjirabab serta mempunyai kontak harian dengan komuniti aliran utama, isu teoritis timnul berkaitan dengan persoalan sejaun manakah budaya mereka tertutup ataupun terbuka kepada resapan unsur budaya komuniti aliran utama. Sekurang-kurangnya dengan meneliti bentuk serta kandungan seni permainan mereka makan para pemerhati akan dapat memahami hala tuju yang akan dilalui oleh budaya komuniti berkenaan: sama ada mempertahankan tradisi dan identity kelompok sepenuhnya ataupun menerima unsur-unsur budaya moden dan menjadikannya sebahagian daripada budaya mereka sendiri. Ini ialah pilihan mereka.

~ Sosio Budaya Temuan ~


Struktur Organisasi Masyarakat Temuan

Perlantikan Batin

Dalam masyarakat Temuan, Batin dilantik mengikut keturunan. Jika seseorang itu dilantik sebagai Batin, penggantinya mestilah dari pihak “Perut Perempuan” iaitu adik atau sepupu kepada Batin.Perlantikan Batin berdasarkan kepada ketokohan dan kebolehannya. Biasanya, seseorang yang hendak dilantik mestilah berpengetahuan luas tentang adat istiadat serta pantang larang. Pemilihan Batin juga mengambil kira aspek moral dan nilai-nilai murni diri seseorang itu selain daripada kewibawaan dan potensinya sebagai pemimpin.Sekiranya seseorang Batin itu meninggal dunia atau menolak jawatan, satu mesyuarat tergempar yang diuruskan oleh “Jurukerah” akan diadakan. Semasa perjumpaan ini, satu perundingan yang menggunakan “Bahasa Adat” (secara serius dan jujur) dijalankan. Ahli mesyuarat mestilah terdiri daripada “perut” yang sama dan mereka boleh menyandang jawatan Batin (telapak batin).Dalam mesyuarat ini Jurukerah memainkan peranan sebagai jurucakap.Setelah dipersetujui oleh semua ahli “seperut”, maka hari perlantikan Batin akan ditetapkan.Sekiranya seseorang Batin ingin meletak jawatan, satu mesyuarat ahli “seperut” juga diadakan di rumah Batin.Sekiranya alasan yang diberi munasabah seperti masalah kesihatan, maka perletakkan jawatan akan diterima. Jurukerah akan mengumumkan kepada anak buahnya tentang perletakkan jawatannya. Selain itu sekiranya Batin melakukan sesuatu kesalahan yang “melanggar adat”, dia boleh dilucutkan jawatan oleh “perut” dan pemilihan baru akan dibuat.Sebagai seorang Batin, ia berkuasa ke atas perkara-perkara berikut:

a) Pantang larang dan adat resam
b) Mengeluarkan arahan untuk bergotong royong.
c) Merestui perkahwinan dan mengahwinkan “kes”perkahwinan sesama suku.
d) Tempat menyelesaikan masalah, pergaduhan, perceraian dan sebagainya.
e) Membuka kampung dan ladang baru
f) Menentukan kawasan dan sempadan kampung, kediaman penduduk dan sempadan kuasa ahli-ahli yang dilantik.
g) Boleh mengubati pesakit atau menajdi bomoh secara tradisional
h) Menentukan perjalanan adat istiadat dan pantang larang yang telah dikuatkuasakan dan dipatuhi oleh seluruh penduduk kampung dan orang yang datang berhijrah dan pengunjung yang datang ke kampungnya.
i) Sebagai tempat perantaraan dan mendapatkan maklumat dari luar dengan masyarakat setempat.Berhubung dengan agensi kerajaan untuk memajukan kawasannya dan menyelesaikan masalah kampung dengan pihak berkuasa.Selain Batin, terdapat juga beberapa jawatan pembantu Batin seperti Menteri,Tok Jenang, Jurukerah, Panglima dan Pemangku.

Kelebihan Batin ialah :

a) Dihormati dan disegani.
b) Semua anak buah patuh pada arahannya.
c) Mempunyai bidang kuasa yang tinggi tetapi tertakluk pada adapt dan pantang.


Menteri (Penasihat Batin)

Menteri ialah seorang yang mahir dalam hal adat dan pantang larang serta memainkan peranan sebagai penasihat kepada Batin, Jurukerah dan Tok Jenang dalam menjalankan tugas harian lembaga adat. Walaubagaimanapun, beliau tidak boleh menjatuhkan hukuman.

Tok Jenang

Tok Jenang adalah katua Lembaga adat yang diwarisi secara keturunan.Beliau mempunyai bidang kuasa yang terhad dalam menjatuhkan hukuman.

Jurukerah

Diwarisi secara keturunan dengan mendapat persetujuan daripada Lembaga adat seluruh kampung.Beliau boleh menjatuhkan hukuman yang ringan dan menjadi wali (jurunikah) dalam adat istiadat perkahwinan.

Panglima

Dilantik oleh Batin setelah mendapat persetujuan daripada Lembaga adat.Pemilihan adalah berdasarkan kewibawaan dan kebolehan memimpin serta sifat yang disegani.Tugas utama panglima ialah menjaga dan mengurus kebajikan anak-anak buah.

Pemangku

Jawatan pemangku diwarisi secara keturunan. Ia menjalankan tugas yang diamanahkan oleh Batin serta berkuasa menjatuhkan hukuman.


~ Bahasa Pertuturan ~




Bahasa Temuan dan Melayu berkembang daripada dasar linguistik yang sama. Oleh itu persamaan perkataan yang digunakan dalam sehari-hari seperti “makan”, “jalan”, “lari”, “pusing”, “balik” dan yang sumpamanya hanya dibezakan melalui sebutan sahaja. Masyarakat Temuan juga dilihat cenderung untuk mengucapkan sesetengah konsonan seperti “d” dan “l” dan “n”dan”r” terutamanya apabila mereka menyebut sebutan terakhir dalam sesuatu perkataan. Umpamanya; “m’id” menjadi “m’in”. Nama orang dan tempat seperti “kelek” disebut menjadi “kenek”, “halus” menjadi “hanos” dan “Sudin” menjadi “ Surin”. Sebahagian daripada contoh-contoh bahasa Temuan adalah seperti di bawah:

~ Penempatan ~



Masyarakat Temuan banyak didapati di bahagian selatan Semenanjung Malaysia .Mereka hidup berjiran dengan masyarakat Melayu di beberapa buah kawasan di negeri Selangor, Melaka, Pahang, daerah Muar, Johor dan Negeri Sembilan. Mengikut bancian Jabatan Hal Ehwal Orang Asli sehingga tahun 2003 jumlah populasi mereka dianggarkan 22,165 orang. Pemilihan sesuatu petempatan atau perkampungan ditentukan oleh Batin dan anak buahnya dengan mengambil kira perkara-perkara berikut:

a) Batin dan anak buahnya mendapat alamat yang baik melalui mimpi
b) Kawasan tanah pamah yang berhampiran sungai
c) Kawasan itu tidak terletak di antara dua bukit (genting) kerana dipercayai tempat laluan hantu-hantu dan makhluk-makhluk halus
d) Tempat-tempat yang “keras”(berhantu)

~ Suku Temuan ~

Temuan merupakan salah satu suku kaum Orang Asli yang digolongkan ke dalam kelompok Melayu-Proto. Mereka bertutur di dalam dialek Melayu dan hampir 45% daripada corak hidup seharian mereka mempunyai persamaan dengan kehidupan masyarakat Melayu. Di Semenanjung Malaysia, mereka tinggal dan hidup berjiran dengan masyarakat melayu di beberapa buah kawasan seperti di negeri Selangor, Melaka, Pahang, daerah Muar, Johor dan Negeri Sembilan. Bagi masyarakat Temuan yang tinggal di Negeri Sembilan, mereka turut mengamalkan adat perpatih .Namun begitu budaya hidup mereka tidak banyak bezanya daripada suku bangsa Temuan di negeri lain.

Perkataan Temuan berasal daripada perkataan “temu” iaitu “jumpa”.Ianya juga bermakna “simpang” atau “pertemuan” atau tempat pertemuan suku-suku kaum bukit.Berkemungkinan inilah yang menyebabkan orang-orang Temuan memperolehi nama gelaran kaum mereka. Genetik mereka dikatakan hasil cantuman beberapa suku kaum asli dengan penduduk migran daripada Sumatera dan Jawa. Mereka bertutur di dalam dialek bahasa Melayu Asli yang dipercayai berasal daripada Jambi di selatan Sumatera. Di dalam sesebuah perkampungan Temuan, mereka tinggal secara berkumpulan sehingga 250 orang dengan mengamalkan “keluarga nuklear”. Orang-orang Temuan mempunyai ciri-ciri fizikal seperti berambut ikal mayang, berkulit cerah, mempunyai badan yang sederhana tegap bagi lelaki, berhidung lebar, berdahi luas dan mempunyai rupa paras yang mirip seperti orang-orang Melayu.

Secara tradisinya mereka menjalankan kegiatan memburu dan menangkap ikan di samping mengumpul hasil-hasil hutan. Mereka tidak menjalankan kegiatan penanaman padi seperti yang dilakukan oleh kebanyakkan masyarakat Orang Asli. Di kebanyakkan tempat, kaum Temuan masih menjalankan kerja-kerja pengutipan hasil-hasil hutan seperti mengumpul rotan, buluh, damar, dan kayu api .Selain untuk kegunaan sendiri, mereka turut menjual hasil-hasil yang diperolehi kepada peraih-peraih luar yang datang ke kampung mereka. Sudah menjadi tradisi masyarakat Orang Asli berjalan beribu-ribu batu jauh di dalam hutan untuk mendapatkan hasil-hasil hutan yang boleh dibuat perkakas harian dan bersifat komersial serta boleh mendatangkan pendapatan. Ketika masuk ke dalam hutan, kaum Temuan lazimnya akan membawa isteri dan anak-anak bersama bagi membantu mereka . Kini selain menjalankan kegiatan berbentuk tradisi tersebut, ada juga di kalangan pemuda dan pemudi kaum Temuan keluar daripada kawasan kampung mereka untuk bekerja makan gaji di dalam sektor-sektor kerajaan dan swasta.

Jika dilihat daripada segi kepercayaan, masyarakat Temuan merupakan penganut animisme. Walaubagaimanapun, beberapa adat resam mereka seperti adat perkahwinan dan perayaan-perayaan yang diraikan mempamerkan budaya dan kepercayaan masyarakat Melayu. Maka tidak hairanlah apabila ramai para pengkaji mengaitkan mereka dengan kebudayaan orang-orang Melayu. Kini ada juga segelintir daripada mereka telah menerima agama besar dunia seperti Islam dan Kristian.

~ Bangsa Orang Asli ~

Terdapat tiga kumpulan bangsa Orang asli. Antaranya ialah kumpulan Negrito, Melayu Proto dan Senoi. Setiap daripada bangsa tersebut terdapat beberapa suku kaum yang mana jumlah kesemuanya adalah 18 suku kaum.


**NEGRITO :


- Kensiu
- Kintak
- Lanoh
- Jahai
- Mendriq
- Bateq


**MELAYU PROTO :

- Orang Kuala
- Orang Kanaq
- Orang Seletar
- Jakun
- Semelai
- Temuan


**SENOI :

- Temiar
- Semai
- Semoq Beri
- Mahmeri
- Jahut
- Che Wong


NEGRITO

Kaum Negrito terdiri daripada rumpun bangsa Kensiu, Kintak, Lanoh, Jahai, Mendriq dan Bateq. Mereka mendiami kawasan di sekitar banjaran Titiwangsa yang berpusat kebanyakannya di sebelah utara Semenanjung.

Orang-orang Negrito dulu hanya akan berkahwin dengan kumpulan mereka dari lembah lain, tetapi dewasa ini, cara demikian bukan lagi jadi pegangan hidup mereka atau sesuatu yang perlu ditaati. Corak hidup mereka adalah lebih bebas dan mereka lebih suka memilih pasangan hidup mereka sendiri.



MELAYU PROTO

Kaum Melayu Proto mencakupi rumpun bangsa Temuan, Semelai, Jakun, Orang Kanaq, Orang Kuala dan Orang Seletar. Pada awalnya mereka tinggal di kawasan pantai, kuala atau pun kawasan-kawasan lembah. Kini mereka telah memiliki kawasan perkampungan mereka sendiri dan mengecapi kehidupan yang lebih selesa hasil daripada pembangunan yang dibawa oleh pihak kerajaan.


SENOI

Kaum Senoi mendiami kawasan lereng Banjaran Titiwangsa serta juga di sebelah pantai negeri Selangor. Ianya merangkumi kawasan di pedalaman negeri Perak, Kelantan, Pahang dan Terengganu. Terdapat enam suku kaum yang bernaung di bawah kategori kaum Senoi iaitu Che Wong, Mah Meri, Jahut, Semoq Beri, Semai dan Temiar.

~ Fakta Sejarah ~

Menurut para pengkaji sejarah, kepulauan Melayu telah mula diduduki oleh manusia yang dipanggil Austronesian atau Malayo-Polynesia sekitar 5,000 tahun dahulu. Mereka ini dikatakan berasal daripada Selatan China (Yunan) dan Taiwan. Penghijrahan mereka ke selatan adalah secara ’sporadic’, ’irregular’ dan ’incremental’. Bermula dari Filipina menganjur ke pulau-pulau Indonesia sehingga ke penghujung tanah besar Asia, pulau-pulau Pasifik dan Madagascar.

Majoriti Orang Asli di Malaysia (termasuk kaum Bumiputera) yang menghuni kawasan Indo-Malaya sekarang ini adalah keturunan daripada manusia Austranesian awal ini. Hasil daripada Banci Penduduk JHEOA 2004, jumlah populasi Orang Asli Malaysia ketika ini ialah seramai 149,723 orang. Mereka terbahagi kepada tiga Kaum utama iaitu, Melayu Proto (Proto-Malay), Negrito dan Senoi yang membentuk 18 Rumpun Bangsa.

~ Siapa Orang Asli ~


Istilah Orang Asli diperkenalkan dalam Bahasa Melayu pada tahun 1950an untuk merujuk kepada beberapa kelompok kecil manusia khususnya yang mendiami kawasan pedalaman dan kawasan-kawasan di pinggirannya di Semenanjung Malaysia. Barangkali, unsur-unsur misteri dan kekaburan dihubung kait dengan kewujudan dan asal-usul Orang Asli serta aspek magis dan ritual yang terkenal dikalangan mereka, maka Orang Asli sering dianggap masyarakat primitif.
Biasanya Orang Asli dibahagiakan kepada 3 kumpulan utama yang mempunyai ciri-ciri khusus iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto. Sejak beberapa abad yang lau, kadar percampuran dan interaksi antara ketiga-tiga kumpulan Orang Asli adalah begitu meluas sama ada melalui perdagangan, perkahwinan atau pun kontak akibat pelaksanaan projek-projek pembangunan di kawasan pedalaman.

Orang Asli sekarang boleh berkahwin dengan mana-mana kumpulan Orang Asli. Atas hakikat demikian, pembahagian kepada kumpulan Negrito, Senoi dan Melayu Proto sudah boleh dipertikai dan tidak lagi memberi gambaran sepenuhnya. Unsur-unsur baru yang diterima melalui pelaksanaan program pembangunan telah mengubah cara hidup mereka dan meletakkan diri mereka dalam perspektif yang baru.

Justeru itu, penggunaan istilah ‘primitif’ dan ‘mundur’ atau mempunyai nilai-nilai negatif dan menentang pembangunan kepada Orang Asli sudah lapuk dan tidak digunakan lagi. Ini adalah kerana sudah ramai diantara mereka yang menuntut di pusat pengajian tinggi dan ada yang telah berjaya di dalam bidang perniagaan serta bekerja sebagai pegawai eksekutif dalam sektor awam dan sektor swasta. Peta taburan Orang Asli hanya memberi gambaran taburan mereka secara rambang tetapi tidak lagi dapat memberi gambaran sejauh mana sempadan tersebut.

Sejak berakhirnya perang dunia kedua, Orang Asli memainkan peranan utama dalam politik membanteras ideologi dan gerakan bersenjata Komunisme. Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) ditubuhkan oleh pentadbiran Inggeris sebaik sahaja perang tamat. Ia bertujuan untuk mengawasi keadaan keselamatan negara ini. Keadaan demikian membuka lembaran baru dalam kehidupan Orang Asli iaitu zaman pertembungan dengan ideologi asing yang mana pada ketika itu amat sukar sekali difahami dan apatah lagi untuk diterima oleh mereka.

~ Definisi Orang Asli ~



Perkataan Orang Asli adalah perkataan dalam Bahasa Melayu yang dirujuk kepada “orang asal” iaitu manusia yang mula-mula mendiami negara ini. Perkataan asli berasal daripada perkataan Arab iaitu asliyyin yang membawa maksud asal.

Menurut undang-undang Malaysia Akta 134, dalam Akta Orang Asli 1954 semakan 1974, terdapat beberapa definisi Orang Asli. Antaranya:

Mana-mana individu yang mana bapanya ialah seorang ahli daripada kumpulan etnik Orang Asli dan lazimnya mengikut cara hidup, adat dan kepercayaan Orang Asli, termasuklah individu yang berketurunan melalui orang itu. Selain itu, ia didefinisikan juga sebagai mana-mana orang daripada mana-mana kaum yang diambil sebagai anak angkat semasa kanak-kanak oleh Orang Asli dan yang telah dibesarkan sebagai seorang Orang Asli, lazimnya bercakap bahasa Orang Asli, mengikut cara hidup Orang Asli dan adat serta kepercayaan Orang Asli ialah salah seorang ahli daripada masyarakat Orang Asli.

Seseorang itu disebut juga sebagai Orang Asli apabila anak daripada mana-mana penyatuan antara seorang perempuan Orang Asli dengan seorang lelaki daripada suatu kaum lain, dengan syarat bahawa anak itu lazimnya bercakap bahasa Orang Asli, mengikut cara hidup Orang Asli dan adat serta kepercayaan Orang Asli adalah seorang daripada ahli masyarakat Orang Asli. Mana-mana Orang Asli yang tidak lagi berpegang kepada kepercayaan Orang Asli oleh kerana dia telah memeluk mana-mana agama atau oleh kerana apa-apa sebab lain, tetapi dia masih mengikut cara hidup Orang Asli dan adat Orang Asli atau bercakap bahasa Orang Asli tidak boleh disifatkan sebagai tidak lagi menjadi Orang Asli semata-mata oleh sebab dia mengamalkan agama itu.

Panggilan Orang Asli sebenarnya digunakan bagi menggantikan nama-nama biasa yang digunakan oleh masyarakat lain seperti Orang Sakai, Darat, Pangan dan lai-lain lagi. Perubahan ini untuk mengelak dari rasa tersinggung dari kalangan Orang Asli yang mana ia tidak beretika dan tidak faham tentang norma sosial masyarakat lain dan mempunyai makna yang tidak baik, sekaligus tidak disukai oleh Orang Asli sendiri.

~Kata Pengantar~



Alhamdulillah, kami bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. di atas limpahan kurnia dan ‘inayah-Nya, buku ini dapat diterbitkan dan menemui pembaca seperti yang ada sekarang ini. Selawat dan salam sentiasa tercurah untuk junjungan kita Rasulullah s.a.w. yang membawa rahmat untuk seluruh alam. Pada bulan Januari 2009, projek “Mesra Bersama Orang Asli” pengkhususan masyarakat Orang Asli suku kaum Orang Temuan ini telah dimulakan oleh sekumpulan penyelidik sebanyak enam orang daripada Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Projek ini dijalankan khusus kapada Orang Asli Temuan yang tinggal di Kampung Paya Lebar, Mukim Ulu Langat, Selangor Darul Ehsan.

Buku yang berada di tangan pembaca ini, mengandungi sebanyak 5 bab, iaitu merangkumi keseluruhan kehidupan masyarakat Orang Asli Temuan di Malaysia secara amnya dan khususnya di Paya Lebar, Mukim Ulu Langat. Melalui buku ini, kita dapat menyelami kebudayaan yang terutama bagi suku kaum Temuan ini iaitu Tarian Sewang. Lima bidang utama yang diberi tumpuan secara mendalam oleh buku ini ialah:

#Pengenalan
#Kaum Temuan
#Tarian Sewang
#Sewang Perubatan
#Etnografi Kampung Paya Lebar Hulu Langat

Pembaca akan dapat menghayati perkara berkaitan petempatan mereka, bahasa pertuturan, sosio budaya, institusi pentadbiran, nilai hidup, pakaian, makanan, kepercayaan dan pantang larang, adat istiadat, jenis pekerjaan, sistem kekeluargaan, taraf pendidikan, kediaman, tarian sewang, sewang perubatan, perayaan, anyaman, kraftangan dan cerita-cerita lisan Kaum Temuan.

Teknik kajian yang digunakan dalam penyelidikan ini ialah kerja lapangan dan kajian perpustakaan. Para penyelidik bergerak secara berkumpulan iaitu seramai enam orang untuk meninjau aktiviti dan mengumpul data berkaitan aktiviti harian masyarakat Orang Asli Temuan. Kemudian pengkaji menemubual beberapa orang responden untuk memperoleh kepelbagaian maklumat sedia ada. Para penyelidik telah berkunjung ke perkampungan Paya Lebar sebanyak tiga kali untuk membuat kerja-kerja lapangan. Di antara kerja-kerja yang telah dilakukan termasuklah menemubual Tok Batin, menghadiri upacara tarian sewang, serta aktiviti pembelajaran tarian sewang di kalangan pengkaji. Selain itu, sepanjang penyelidikan ini, para pengkaji telah melawat muzium dan perpustakaan orang asli untuk menjalankan kajian perpustakaan.

Dengan terbitnya buku ini, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi rasa hormat dan terima kasih kepada Prof Puan Sri Dr Faridah Karim, sebagai penyelia kumpulan penyelidik, di atas kesabarannya memberikan bimbingan serta keikhlasannya dalam setiap perbincangan dan pertukaran idea sepanjang penulisan buku ini. Rasa terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga ini juga ditujukan kepada Puan Hajah Halimah Harun, Dr Abdul Razaq Ahmad serta Encik Anuar Bin Ahmad, di atas kerjasama dan bantuan tanpa jemu yang diberikan sehingga terbitnya buku ini. Ribuan terima kasih juga ingin ditujukan kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Malaysia, JHEOA Hulu Langat, Kampung Paya Lebar, Muzium Negara, Muzium Orang Asli Gombak, Perpustakaan Orang Asli Gombak, Muzium Seni Kraf Orang Asli, serta Pusat Islam UKM.

Projek ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama dan semangat kekitaan dalam kalangan para penyelidik. Oleh itu, kami mengucapkan jutaan terima kasih juga kepada pihak terlibat yang turut sama menjayakan penyelidikan dan menyiapkan buku ini iaitu Tok Batin Aning A/L Embong (Tok Batin Kg Paya Lebar), Puan Musalmah Binti Sulaiman (JHEOA Malaysia), Puan Siti Binti Aun (Ketua Tarian Sewang), Kumpulan Tarian Sewang Kampung Paya Lebar, Encik Zulkanain Alias (Muzium Seni Kraf Orang Asli), Encik Asmawi Bin Mohamed Yunos (Muzium Orang Asli Gombak), Kakitangan Perpustakaan Orang Asli Gombak, serta penduduk Kampung Paya Lebar.

Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.