Sunday, April 5, 2009

~ PEMBINAAN BALAI ~

Sewang diadakan di ruang pementasan yang khusus, justeru itu sebuah balai harus didirikan sebagai tempat permainan. Pada waktu subuh, tiang sulung mesti ditegakkan. Semasa menegakkan tiang, keadaan keliling mestilah sesunyi-sunyinya. Andai kata terdapat sebarang bunyi, walaupun bunyi burung, tiang sulung tidak boleh ditegakkan.

Upacara mendirikan balai mesti ditangguhkan kepada hari lain. Burung yang paling dihindari ialah burung gagak dan burung hantu yang dipercayai akan membawa kecelakaan. Andai kata terdapat bunyi burung gagak semasa menegakkan tiang sulung, upacara ini mesti dibatalkan, kalau tidak semasa persembahan pasti akan terjadi kecelakaan.

Atap balai diperbuat daripada daun serdang. Proses ini dinamakan pasang takau atau pasang atap. Tiang balai dibuat daripada kayu mahang. Walau bagaiamanapun jenis kayu apa pun boleh diguna pakai. Yang penting untuk pembinaan balai ialah pokok ribu-ribu, daun kelapa dan buluh. Pokok ribu-ribu penting digunakan sebagai hiasan balai untuk membawa tuah dan rezeki seperti yang diserlahkan daripada perkataan “beribu-ribu”. Balai yang siap dibina mesti dihiaskan, dengan seaneka jenis perhiasan yang dibuat daripada daun kelapa yang dianyam. Tiang sulung dihiaskan dengan bunga pinang (yang berbentuk bulat), bunga serai (bunganya kecil-kecil), bunga teberau, bunga keris, bunga jering, dan bunga gabuk. Bunga utama ialah bunga subang yang dilekatkan kepada tiang balai. Balai juga dihiaskan dengan tali dendan. Batang kayu boleh diambil daripada jenis kayu apa pun.

Sewang dipercayai bermula daripada nenek moyang mereka sebagai satu upacara yang diadakan apabila kaum keluarga berkumpul, terutamanya semasa musim buah atau semasa menuai padi. Kaum keluarga akan berkumpul dan mengadakan upacara Sewang tari-menari. Mereka menghidangkan buah-buahan (semasa waktu buah-buahan) dan menjamu selera berserta dengan hasrat menunjuk kesyukuran.

Mengikut mitos orang asli, Sewang mula-mula menjelma dalam mimpi dari pulau Buah (Syurga). Ada pula pendapat yang mengatakan bahawa pengetahuan tentang Sewang wujud sejak dahulu kala dan diketahui sejak turun temurun sebagai satu tradisi orang asli. Sewang bermaksud tari-menari . Pada zaman dahulu kala dipercayai bahwa apabila mereka bermain Sewang, mereka mendapat rahmat daripada Pulau Buah. Terdapat beraneka jenis Sewang seperti Sewang untuk perubatan, Sewang untuk kenduri kendara, Sewang untuk menyambut hari moyang. Sewang menyambut hari moyang dilaksanakan dengan lagu-lagu upacara untuk untuk meraikan nenek moyang orang asli. Dalam persembahan Sewang ini terdapat beberapa buah lagu yang dinyanyikan.

No comments:

Post a Comment