Sunday, April 5, 2009

~Kata Pengantar~



Alhamdulillah, kami bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. di atas limpahan kurnia dan ‘inayah-Nya, buku ini dapat diterbitkan dan menemui pembaca seperti yang ada sekarang ini. Selawat dan salam sentiasa tercurah untuk junjungan kita Rasulullah s.a.w. yang membawa rahmat untuk seluruh alam. Pada bulan Januari 2009, projek “Mesra Bersama Orang Asli” pengkhususan masyarakat Orang Asli suku kaum Orang Temuan ini telah dimulakan oleh sekumpulan penyelidik sebanyak enam orang daripada Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Projek ini dijalankan khusus kapada Orang Asli Temuan yang tinggal di Kampung Paya Lebar, Mukim Ulu Langat, Selangor Darul Ehsan.

Buku yang berada di tangan pembaca ini, mengandungi sebanyak 5 bab, iaitu merangkumi keseluruhan kehidupan masyarakat Orang Asli Temuan di Malaysia secara amnya dan khususnya di Paya Lebar, Mukim Ulu Langat. Melalui buku ini, kita dapat menyelami kebudayaan yang terutama bagi suku kaum Temuan ini iaitu Tarian Sewang. Lima bidang utama yang diberi tumpuan secara mendalam oleh buku ini ialah:

#Pengenalan
#Kaum Temuan
#Tarian Sewang
#Sewang Perubatan
#Etnografi Kampung Paya Lebar Hulu Langat

Pembaca akan dapat menghayati perkara berkaitan petempatan mereka, bahasa pertuturan, sosio budaya, institusi pentadbiran, nilai hidup, pakaian, makanan, kepercayaan dan pantang larang, adat istiadat, jenis pekerjaan, sistem kekeluargaan, taraf pendidikan, kediaman, tarian sewang, sewang perubatan, perayaan, anyaman, kraftangan dan cerita-cerita lisan Kaum Temuan.

Teknik kajian yang digunakan dalam penyelidikan ini ialah kerja lapangan dan kajian perpustakaan. Para penyelidik bergerak secara berkumpulan iaitu seramai enam orang untuk meninjau aktiviti dan mengumpul data berkaitan aktiviti harian masyarakat Orang Asli Temuan. Kemudian pengkaji menemubual beberapa orang responden untuk memperoleh kepelbagaian maklumat sedia ada. Para penyelidik telah berkunjung ke perkampungan Paya Lebar sebanyak tiga kali untuk membuat kerja-kerja lapangan. Di antara kerja-kerja yang telah dilakukan termasuklah menemubual Tok Batin, menghadiri upacara tarian sewang, serta aktiviti pembelajaran tarian sewang di kalangan pengkaji. Selain itu, sepanjang penyelidikan ini, para pengkaji telah melawat muzium dan perpustakaan orang asli untuk menjalankan kajian perpustakaan.

Dengan terbitnya buku ini, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi rasa hormat dan terima kasih kepada Prof Puan Sri Dr Faridah Karim, sebagai penyelia kumpulan penyelidik, di atas kesabarannya memberikan bimbingan serta keikhlasannya dalam setiap perbincangan dan pertukaran idea sepanjang penulisan buku ini. Rasa terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga ini juga ditujukan kepada Puan Hajah Halimah Harun, Dr Abdul Razaq Ahmad serta Encik Anuar Bin Ahmad, di atas kerjasama dan bantuan tanpa jemu yang diberikan sehingga terbitnya buku ini. Ribuan terima kasih juga ingin ditujukan kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Malaysia, JHEOA Hulu Langat, Kampung Paya Lebar, Muzium Negara, Muzium Orang Asli Gombak, Perpustakaan Orang Asli Gombak, Muzium Seni Kraf Orang Asli, serta Pusat Islam UKM.

Projek ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama dan semangat kekitaan dalam kalangan para penyelidik. Oleh itu, kami mengucapkan jutaan terima kasih juga kepada pihak terlibat yang turut sama menjayakan penyelidikan dan menyiapkan buku ini iaitu Tok Batin Aning A/L Embong (Tok Batin Kg Paya Lebar), Puan Musalmah Binti Sulaiman (JHEOA Malaysia), Puan Siti Binti Aun (Ketua Tarian Sewang), Kumpulan Tarian Sewang Kampung Paya Lebar, Encik Zulkanain Alias (Muzium Seni Kraf Orang Asli), Encik Asmawi Bin Mohamed Yunos (Muzium Orang Asli Gombak), Kakitangan Perpustakaan Orang Asli Gombak, serta penduduk Kampung Paya Lebar.

Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

1 comment:

  1. Dear Prof,

    It is an interesting writing. I understand that the writing is about the Temuan. May I know if you can assist to know the Seletar Culture. What cultural song do they have. I wish to have some views from you as I intend to put some recommendation to IRDA.

    Thank you.

    Dr Habibah Ahmad
    ahabibah2009@gmail.com

    ReplyDelete