Sunday, April 5, 2009

~ Siapa Orang Asli ~


Istilah Orang Asli diperkenalkan dalam Bahasa Melayu pada tahun 1950an untuk merujuk kepada beberapa kelompok kecil manusia khususnya yang mendiami kawasan pedalaman dan kawasan-kawasan di pinggirannya di Semenanjung Malaysia. Barangkali, unsur-unsur misteri dan kekaburan dihubung kait dengan kewujudan dan asal-usul Orang Asli serta aspek magis dan ritual yang terkenal dikalangan mereka, maka Orang Asli sering dianggap masyarakat primitif.
Biasanya Orang Asli dibahagiakan kepada 3 kumpulan utama yang mempunyai ciri-ciri khusus iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto. Sejak beberapa abad yang lau, kadar percampuran dan interaksi antara ketiga-tiga kumpulan Orang Asli adalah begitu meluas sama ada melalui perdagangan, perkahwinan atau pun kontak akibat pelaksanaan projek-projek pembangunan di kawasan pedalaman.

Orang Asli sekarang boleh berkahwin dengan mana-mana kumpulan Orang Asli. Atas hakikat demikian, pembahagian kepada kumpulan Negrito, Senoi dan Melayu Proto sudah boleh dipertikai dan tidak lagi memberi gambaran sepenuhnya. Unsur-unsur baru yang diterima melalui pelaksanaan program pembangunan telah mengubah cara hidup mereka dan meletakkan diri mereka dalam perspektif yang baru.

Justeru itu, penggunaan istilah ‘primitif’ dan ‘mundur’ atau mempunyai nilai-nilai negatif dan menentang pembangunan kepada Orang Asli sudah lapuk dan tidak digunakan lagi. Ini adalah kerana sudah ramai diantara mereka yang menuntut di pusat pengajian tinggi dan ada yang telah berjaya di dalam bidang perniagaan serta bekerja sebagai pegawai eksekutif dalam sektor awam dan sektor swasta. Peta taburan Orang Asli hanya memberi gambaran taburan mereka secara rambang tetapi tidak lagi dapat memberi gambaran sejauh mana sempadan tersebut.

Sejak berakhirnya perang dunia kedua, Orang Asli memainkan peranan utama dalam politik membanteras ideologi dan gerakan bersenjata Komunisme. Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) ditubuhkan oleh pentadbiran Inggeris sebaik sahaja perang tamat. Ia bertujuan untuk mengawasi keadaan keselamatan negara ini. Keadaan demikian membuka lembaran baru dalam kehidupan Orang Asli iaitu zaman pertembungan dengan ideologi asing yang mana pada ketika itu amat sukar sekali difahami dan apatah lagi untuk diterima oleh mereka.

No comments:

Post a Comment