Sunday, April 5, 2009

~ SEWANG PERUBATAN ~

Penjenisan Sewang Perubatan

Secara umum sewang boleh dikelaskan kepada beberapa jenis mengikut keperluan sesuatu upacara seperti Sewang Chenchem, Gamok, Panoh, Penhei, Manjar, Pungei, Tanggei, dan Selombang. Setiap satu ada perbezaan dari segi fungsi sama ada diadakan untuk tujuan perubatan, membuka pantang kematian, keramaian seperti menyambut tetamu dan meraikan perkahwinan, membuka lading, mengawal makhluk-makhluk halus dan sebagainya.

Untuk tujuan mengubati penyakit yang disebabkan oleh racun seperti racun pokok Ipoh dan terkena santau, sewing gamok biasanya diadakan untuk memulihkan pesakit berkenaan. Bagi penyakit-penyakit yang berkaitan dengan semangat seperti kena rasuk, hilang ingatan, hlang semangat dan sebagainya, jenis sewang yang lain boleh digunakan berdsarkan punca penyakit itu terjadi. Oleh kerana kepercayaan yang begitu kuat terhadap kuasa dalaman da penunggu luaran yang dinamakan ‘semangat’ ini, menyebabkan masyarakat Orang Asli hamper mengaitkan seluruh kehidupan mereka dengan elemen semangat tersebut. Contohnya sewang Chenchem dikaitkan dengan semangat sertaroh orang yang telah meninggal dunia, sewang Panoh dikaitkan dengan semangat dan rasukan harimau, sewang Pungei dikaitkan dengan semangat bunga-bungaan, tumbuhan di hutan serta roh puteri gunung dan sebagainya lagi.

Taylor, seorang sarjana dalam bidang Antropologi menggambarkan semangat sebagai ‘satu jenis makhluk yang suka menumpang’ atau ‘makhluk kecil @ halus’ yang boleh menyebabkan keadaan tidak stabil kepada manusia yang ditumpangi samada dari segi fizikal atau mental. Justeru itu, masyarakat Orang Asli sangat mengambil berat terhadap unsur ‘semangat’ kerana ia boleh mempengaruhi kesihatan. Semangat yang terganggu dan tidak dikawal boleh mengakibatkan penyakit. Ini juga adakaitan dengan system kepercayaan masyarakat tersebut yang amat kuat pergantungan mereka terhadap unsur-unsur ‘natural’ dan ‘supernatural’.

Kelengkapan Sewang Perubatan

Dalam sesuatu upacara sewang perubatan, beberapa kelengkapan dan peralatan diperlukan demi mendapatkan hasil yang leibh memuaskan. Kelengkapan ini dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu :

a) Balai Sewang
b) Alat-alat bunyian
c) Pemain alat bunyian, penari, dan penyayi
d) Halaq dan/atau Shaman (Perantara dan Perawat)
e) Material Medica :

i. Tumbuh-tumbuhan
ii. Jampi (lagu sewang)
iii. Lain-lain kelengkapan


a) Balai Sewang

Sewang untuk tujuan perubatan biasanya dilakukan di sebuah balai yang khas digunakan untuk tujuan bersewang. Balai ini diperbuat daripada bahan-bahan semulajadi yang mudah diperolehi di persekitaran tempat kediaman masyarakat ini seperti buluh yang digunakan untuk membuat lantai, daun bertam dibuat atap dan batang pokok serta dahan sebagai tiang serta gelegar. Balai sewang dibina kira-kira 3 kaki tinggi dan tali rotan digunakan untuk mengikat tiap-tiap kayu ini kerana pembinaanya tidak menggunakan paku. Walaupun begitu balai ini tetap teguh dan mampu menampung lebih kurang 30 orang dalam satu-satu masa. Ketika upacara sewang berlangsung, lantai buluh, biasanya dari jenis buluh ‘kiul’ akan memberikan kesan timbal balik, lembut dan beralun biarpun sewang dilakukan beramai-ramai.

Semasa upacara sewang berlangsung, balai ini akan dihiasi dengan pelbagai jenis tumbuhan sehingga hampir memenuhi keseluruhan ruang. Sama seperti bahan binaannya, tumbuhan yang digunakan juga merupakan sumber yang mudah diperolehi di persekitaran mereka samada yang ditanam di sekeliling rumah atau pun dikutip daripada hutan berhampiran.keterangan lebih mendalam mengenai tumbuhan akan dibincangkan di bawah tajuk ‘material medica’. Keluasan yang biasa bagi balai sewang kira-kira 20 x 30 kaki dan dibina tanpa dinding.


b) Alat-alat Bunyian

Perlu ditekankan di sini, sewang dilakukan secara berlagu di mana semangat diseru melalui lirik-lirik lagu yang diperolehi oleh tok halaq di dalam mimpi. Lirik-lirik ini bukanlah hafalan, justeru itubukan sebarangan orang yang mampu melagukan lirik-lirik sewang atau turut dikenali sebagai ‘hilad’.

Mengiringi lagu atau ‘nong’ ialah alat-alat bunyian asas iaitu centong buluh atau ‘awen go’h’ dan gendang atau ‘bataq’. Kadang kala gong turut digunakan. Semasa upacara berlangsung biasanya terdapat 3-5 wanita pada usia peringkat belia yang memegang dua buluh berlainan ukuran pada kedua-dua belah tangan mereka. Biasanya centong buluh diperbuat daripada ruas buluh dari jenis ‘besik’ dan ‘pokwok’ yang berkulit nipis serta mampu menghasilkan bunyi yang menarik. Buluh dalam dua ukuran iaitu panjang dan pendek dipegang secara khusus iaitu buluh panjang dipegang secara khusus iaitu buluh panjang dipegang dengan tangan kiri melambangkan jantan manakala buluh pendekpada tangan kanan melambangkan betina. Kedua-dua buluh ini dihentakkan secara bergilir-gilir pada kayu genalang dari jenis kayu ‘kerog’, kayu ‘jereg’ dan batang kayu perah. Perbezaan panjang buluh ini menghasilkan bunyi yang berlainan dan melalui kemahiran pemainnya, irama yang harmoni serta enak didengar dapat dihasilkan. Perbezaan irama antara rancak dan perlahan adalah ditentukan oleh kepantasan buluh diketuk dan juga dari segi kekuatan ketukan.

Gendang atau ‘bataq’ uga dimainkan leh goongan wanita sama ada menggunakan satu atau dua gendang. Ia diperbuat daipada batang kayu yang ditebuk isinya. Kulit kambing atau kulit biawak yang telah dikeringkan dipasangkan pada kedua-dua hujung gendang. Semasa bersewang, gendang akan dipalu seiring dengan irama daripada hentakan buluh.


c) Pemain alat bunyian, Penyanyi dan Penari

Semasa peaskit dirawat, penglibatan ahli-ahli masyarakat yang lain amat diperlukan supaya upacara dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ketiadaan salah satu elemen sama ada bunyian, penari atau penyanyi akan menggagalkan usaha bersewang. Dalam hal ini, setiap anggota upacara ini ada peranan masing-masing. Untuk tujuan perubatan, tidak semua orang dibenarkan turut serta, hanya mereka yang berwibawa akan dilibatkan. Justeru itu, kebanyakan anggota sewang perubatan terdiri daripada mereka yang telah dewasa serta memenuhi ciri-ciri tertentu yang biasanya dikenal pasti oleh Tok Halaq sendiri.

Penglibatan kaum wanita di dalam upacara sewang perubatan amat ketara. Semapemain alat bunyian terdiri dari kaum wanita, biasanya dua orang pemalu gendang dan 3-5 orang pemain centong buluh. Para penari pula terdiri daripada lelaki dan wanita, biasanya antara 5-7 orang. Selain memaikan alat bunyian, mereka juga bertindak sebagai penyanyi pengiring dengan keunikan yang tersendiri. Jelaskedengaran suara mereka yang lantang dan nyaring, mengulangi baris-baris tertentu dalam ‘nong’ yang dipilih. Kadang kala mereka meniru suara binatang dan burung. Difahamkan juga, selain daripada mengulangi perkataan-perkataan penting yang menjadi kata kunci bagi menarik perhatian ‘semangat’ yang dikehendaki. Tujuannya untuk mempercepatkan penyembuhan si pesakit melalui semangat-semangat yang Berjaya dilembutkan dan dipujuk.

Penyanyi utama di dalam upacara sewang perubatan dipanggil Tok Halaq. Kebanyakan Tok Halaq merupakan golongan lelaki yang berusia melewati 45 tahun, namun demikian difahamkan Tok Halaq wanita pernah wujud tetapi penglibatan mereka sangat terhad dan tidak ketara. Menariknya Tok Halaq inialah peranan besarnya dalam menentukan jenis lagu yang boleh digunakan untuk menyembuhkan penyakit. Dalam soal ini, Halaqlah yang bertindak sebagai pendiagnosis penyakit dan mengenalpasti simptom-simptom bagi penyakit yang dihadapi.

Halaq mendapat inspirasi dan liriklagu melalui mimpi yang diperolehi menerusi petunjuk dari makhluk-makhluk halus. Lirik yang diperolehi dari mimpi ini diingati secara spontan dan meresap ke dalam diri serta jiwa penyanyi dan menjadi sebati dengan halaq. Justeru itu, ketika menyanyi Halaq menghayati lagu dengan sepenuh jiwa, dilahirkan sepenuh perasaan sehingga terlihat melalui gerak dan getar badan. Semua ini sangat rapat kaitannya dengan budaya serta proses kejiwaan yang mendalam maknanya.

Ketika mediagnosis penyakit, Tok Halaq juga bergantung kepada petunjuk dari semangat yang diseru dan dipujuk. Semasa upacara ini berlangsung, banyak pantang larang yang mesti dipatuhi kerana Tok Halaq turut menanggung risiko tertentu sekiranya ada gangguan yang menyebabkan semangat-semangat ini terkejut lalu semangat akan pergi lebih jauh. Akibatnya, penyakit tidadapat diubati dan Tok Halaq akan hilang semangatnya sendiri.

Bagi golongan penari, pergerakan mereka tertumpudikawasan tengah balai dimana di situlah terletaknya gugusan pelbagai jenis daun dan bungaan hutan yang dinamakan ‘tamu’. Fungsinya akan diperjelaskan di bawah tajuk materia medica. Pergerakan penari-penari ini terkawal melalui gerak badan dan melangkah mengikut peraturan berlawanan jamdi bawah ‘tamu’ tadi. Mereka turut mengiringi Tok Halaq dalam nyanyiannya. Gerak tari mereka tidak sukar, mereka melangkah sambil melenggok-lenggokan badan dan tangan dihayun ke kiri dank e kanan tetapi walau demikian, pergerakan ini dilakukan sepenuh penghayatan. Ada setengah penari tidak melangkah mengikut putaran berlawanan jam, mereka sekadar menari pada satu tempat dan bergerak mengikut irama yang dimainkan. Bukanlah luar biasa sekiranya penari-penari ini bagai orang kerasukan, kadang kala mereka melompat dan menggayakan aksi binatang.


d) Halaq dan/atau Shaman (Perantara dan Perawat)

Dalam sesuatu upacara sewang perubatan, orang yang menjadi tumpuan atau ‘master-mind’ adalah Tok Halaq. Pada beliaulah digantung harapan dan menentukan jaya atau gagalnya sesuatu misi mengubati penyakit. Adakalanya, Tok Halaq juga bertindak sebagai Shaman iaitu orang yang merawat pesakit berkenaan tetapi ada juga keadaan di mana Halaq dan Shaman adalah orang yang berlainan. Dalam hal ini Tok Halaq bertindak sebagai perantara dan sesudah semangat yang tepat berjaya dipujuk, ia akan menjelaskan kepada Shaman tindakan-tindakan yang harus dilakukan.

Kedua-dua pihak iaitu Halaq dan Shaman biasanya mempunai ciri-ciri tertentu seperti telah berusia melewati 45 tahun,telah berkeluarga, mahir dengan kehidupan di dalam hutan, mempunyai pengalaman hidup yang luas serta amat faham tentang budaya, pantang larang dan peraturan di dalam masyarakat mereka.
Seperti yang telah diperjelaskan, Halaq memperolehi lagu-lagu sewang melalui mimpi. Biasanya situasi mendapat mimpi ini dikaitkan dengan pertemuan denganorang halus yang cantik wajahnya serta memilikisuara yang halus dan merdu (Orang Bunian). Orang halus ini akan memperkenalkan diri (dari semangat tertentu) dan memberikan lagu-lagu untuk dinyanyikan. Semasa memperoleh mimpi ini, badan penerimanya menjadi seram sejuk dan perkara yang sama berlaku apabila semangat meresapi badan Halaq ketika upacara sewang sedang berlangsung. Getar suara dan tubuh Halaq bukan dibuat-buat sebaliknya ia berlaku secara spontan dan tidak disedari oleh Tok Halaq sendiri.

Semasa membuat diagnosis penyakit, Tok Halaq bergantung kepada petunjuk daripada semangat yang menepati serta menjadi punca kepada penyakit berkenaan. Kecuali penyakit-penyakit yang dapat dikesan puncanya dengan mudah seperti termakan racun, penyakit memerlukan Tok Halaq menjangkalagu-lagu yang dirasakan sesuai dengan semangat penyakit berkenaan. Justeru itu, ketika upacara ini berlangsung pelbagai lagu dan irama kdapat didengar kerana Tok Halaq berusaha menyeru semangat supaya membantu megubati pesakit. Hanya Tok Halaq yang dapat mengenal pasti semangat yang dimaksudkan dan merasakan kehadiran semangat tersebut. Orang lain dapat mengesan kehadiran semangat berkenaan dengan memerhatikan tingkah laku Tok Halaq yang beraksi seperti orang yang kena rasuk.


e) Material Medica

Sama seperti lain-lain kaedah perubatan tradisional, sewang juga mempunyai teknik dan cara rawatannya tersendiri dan dalam hal ini, penggunaan beberapa bahan dan peralatan tidak terkecuali. Di dalam masyarakat Melayu, bomoh sering menggunakan limau nipis, semangkuk air, daun sireh, telur ayam kampung dan sebagainya manakala upacara sewang perubatan pula menekankan kepada beberapa daun hutan yang dipercayai dapat mendorong semangat menghampiri balai sewang dan seterusnya membantu mengubati penyakit. Untuk memudahkan penjelasan,ia akan dibahagikan kepada beberapa perkara iaitu :


i. Tumbuh-tumbuhan

Upacara sewang tanpa tumbuh-tumbuhan tidak lengkap malah ia merupakan agen terapeutik perubatan tradisionalyang penting. Keakraban dengan semangat dan alam menyebabkan masyarakat orang asli kuat bergantung kepada sumber-sumber semulajadi seperti daun dan bunga. Paling ketara adalah penggunaan daunpada balai sewang. Hampir keseluruhan balai dipenuhi pelbagai jenis daun seperti kelapadan batang ubi yang diikatkanpada tiang-tiang balai, daun palas atau ‘kuar’, daun kelapa muda, daun ‘keralat’, daun ‘chalon’, daun ‘sensod’, dan sebagainya digantung di bahagian tengah balai. Hiasan ini dinamakan ‘chenlai’ manakala di bahagian tengah balai digantungkan lingkaran rotan yang dihiaskan pula daun ‘chalon’, daun ‘kuar’, ikatan bunga ‘panggil’, carikan daun perah dan bunga raya, dinamakan ‘tamu’.

Daun kelapa dan batang ubi dianggap mempunyai pengaruh yang kuat dan bertindak seabagai ‘umpan’ untuk ‘memujuk’ semangat yang berada di luar rimba supaya memberi perhatian. Mereka juga berkeyakinan dengan meletakkan banyak daunan di balai sewang akan memudahkan semangat-semangat menghampiri dan berasa selesa dengan persekitaran yang hampir menyerupai keadaan di tempat asal mereka. Semua yang dilakukan ini bagaikan satu ‘penyamaran’ atau mirip menyerupai keadaan sebenar di rimba.

‘Tamu’ berperanan sebagaipusat atau tumpuan utama semangat dari rimba. Ia juga sebagai pewangi penaik semangat dan menjadi tempat semangat berkumpul dan memberi bantuan kepada Tok Halaq supaya dapat menyampaikan lagu dengan lebih baik dan lancar. Mengikut kepercayaan masyarakat Temiar, semangat-semangat yang dipanggil dan diseru oleh Tok Halaq akan datang dan memasuki balai sewang dengan meniti tali-tali rotan yang direntang pada setiap penjuru balai lalu bertumpu pada satu bulatan gelog rotan. Disepanjang laluan ini turut digantungkan beberapa jenis daun dan bunga.

Selain daripada balai, tumbuh-tumbuhan juga dipakai oleh perawat, penari dan pemain alat bunyian. Daun palas dianyam dan dipakai di kepala, diistilahkan sebagai ‘seludang atau tempo’, diikatkan pada pinggang (‘begnegwaq’) dan diselempangkan di badan (‘tenwaq’). Segugus daunan diselit di pinggang, diselit pada sanggul (bagi wanita) dan dipegang atau istilahnya ‘kuwop chekkot bot’ sambil melibas-libaskan daun berkenaan ke kiri kanan, di atas kepala, di badan dan sesekali mencium gugusan ini dengan asyik semasa upacara berlangsung. Suasana seperti ini menyebakan balai sarat dengan tumbuh-tumbuhan dan seolah-olah berada di persekitaran hutan.

ii. Jampi atau Lagu sewang (‘Nong’)

Lagu sewang dibezakan mengikut jenis sewang itu sendiri. Semua jenis sewang boleh digunakan untuk mengubati penyakit, bergantung kepada kesesuaian semangat yang berkenaan. Contohnya di dalam sewang Chenchem, dikatakan terdapat kira-kira 33 jenis ‘nong’, antara lain ialah lagu Puteri Gunung, Semangat Gajah, Semangat Orang Meninggal, Semangat Padiserta lagu-lagu dari Dato’ Ngah Bintang iaitu orang yang pertama dipercayai mendapat dan mengealkan chenchem. Di antara lagu-lagu ini terdapat pelbagai irama, ada yang ceria dan rancak, sayu dan mendayu-dayu, perlahan dan senyap, dilagukan agak keras serta lain-lain lagi.

Dalam usaha menarik perhatian semangat yang tepatbagi sesuatu penyakit, pelbagai lagu akan dinyanyikan oleh Tok Halaq sehinggalah semangat yang dikehendaki meresapi tuuh dan jiwa Tok Halaq dan akhirnya usaha mengubati pesakitakan dilakukan.

Antara lirik atau ‘hilad’ yang digunakan semasa berubat adalah seperti berikut :

Termaklah ma tempat asal
Termaklah ma lengri asal
Termaklah ma beh eh
Termaklah ma nyok eh
Termaklah ma asal nyob..

Maksudnya :
Pulanglah ke tempat asalmu
Pulanglah ke negeri asalmu
Pulanglah ke ayah mu
Pulanglah ke ibu mu
Pulanglah ke asal mu...

Gerek tik nyob bar dengki
Gerek tik nyob bar khianat
Kedak nyob bar khianat ma kandik
Nadoh nyob bar khianat ma
Pentak Raja Nabi Adam...

Maksudnya :
Sekiranya engkau dengki ia
Sekiranya engkau khianat ia
Bukan engkau mengkhianati kamu
Malah engkau telah melanggari janji
Yang telah Raja Nabi Adam lafazkan...

Agok bar dengki weh
Agok bar khianat weh
Koj cukup is eh
Koj cukup taun eh

Maksudnya :
Jangan berdengki
Jangan berkhianat
Hari sudah cukup tahunnya sudah sampai...

iii. Lain-lain kelengkapan

Sewang perubatan turut menggunakan bahan-bahan sampingan untuk menambah tarikan kepada semangat yang dituju. Antara lain ialah ‘og cengcog’ atau air akar hutan, ‘selak kuar’ atau daun palas yang telah diracik halus, kemenyan hutan, padi dari jenis yang baik seperti padi ‘mari’ dan padi ‘kurau’, bertih beras, ‘kelyool’ iaitu sejenis bunga yang mengeluarkan bau wangi, ‘bungak pungei’ iaitu bunga yang ditanam di halaman rumah seperti bunga raya, bunga melor dan sebagainya, ramuan pelbagai jenis bunga gunung dan mangkuk berisi air setra bahan-bahan lain yang diminta oleh Tok Halaq.
Kaedah Rawatan

Memulakan acara Tok Halaq akan membuka balai dengan membuat ucapan yang antara lain menyentuh tujuan sewang diadakan. Selepas itu Tok Halaq akan mula menyanyikan lagu sewang. Pada peringka awal, Tok Halaq akan menyanyikan lagu-lagu yang khusus iaitu lagu-lagu yang diterimanya melalui mimpi sahaja dan dapat dianggap sebagai kepakaran beliau sendiri. Selepas itu, penari-penari lelaki akan mengiringi lagu tersebut disusuli penari-penari wanita. Pesakit dibawa ke balai sewang dan dibaringkan berhampirang dengan ‘tamu’. Selepas itu para penari akan menari mengelilingi pesakit. Apabila semangat telah meresapi tubuh Tok Halaq. Beliau beraksi seperti orang yang tidak sedar lalu bertanya :

“Apa hal panggil saya ke balai ni ?”

Salah seorang wanita yang menjadi tukang centong buluh menjawab :

“ Kami tak panggil apa-apa, cuma kami harap anda orang ‘jelmol’ (gunung) tolong ubatkan orang sakit ni...”

Hubungan Tok Halaq dengan semangat atau ‘makhluk halus’ dapat dikesan melalui jumlah lagu yang dinyanyikan. Sekiranya beliau menyanyikan 5 buah lagu, ini bermakna beliau mempunyai hubungan dengan 5 ‘makhluk halus’. Setiap makhluk halus yang mendatangi balai sewang dijamu dengan pelbagai jenis ramuan bunga (madu) dan minuman air akar kayu. Zahirnya, Tok Halaqlah yang memakan dan meminum berjamuini sedangkan hakikatnya ketika itu Tok Halaq sedang diresapi oleh semangat makhluk halus. Ketika itu yang ada pada Tok Halaq hanyalah jasadnya sahaja.

Dalam masa yang sama kemenyan hutan akan dibakar untuk melihat dan mengesan punca-punca penyakit. Asap kemenyan juga dimasukkan ke dalam tubuh pesakit melaui rongga-rongga tubuh pesakit berkenaan. Selain itu, air dari bunga-bungaan (madu) juga dimasukkan ke dalam tubuh bertujuan untuk memudahkan Tok Halaq mengambil atau menghalau penyakit yang dihidapi pesakit. Sekiranya penyakit pesakit berkait dengan hilang semangat, makhluk halus akan membawa balik semangat berkenaan kepada tuannya semula. Makhluk halus akan bergembira dan berasa senang hati untuk membantu mengubati penyakit apabila mendengar bunyi centong buluh dan suara wanita yang mengiringi nyanyian Tok Halaq. Apatah lagi apabila dijamu dengan bahan-bahan berjamu seperti air akar dan madu bunga gunung.

Satu perkara yang tidak kurang penting di dalam acara ini ialah peranan ibu bapa atau kaum keluarga pesakit. Semasa sewang berlangsung akan timbul soal jawab di antara Tok Halaq dengan keluarga pesakit, umpanya soalan mengenai tempat-tempat yang sering dikunjungi pesakit, sama ada pesakit mempunyai musuh dan sebagainya. Ibu bapa pesakit juga memainkan peranan yang besar sebelum acara sewang perubatan dilangsungkan.

Sebenarnya ada dua kaedah dalam menentuka cara mengubati penyakit sama ada ia dikesan sendiri oleh Tok Halaq yang bermimpikan semangat pesakit berkenaan atau Tok Halaq menerima rayuan dari keluaga pesakit untuk mengubati pesakit berkenaan. Dalam situasi pertama, sebaik saja mendapat mimpi, Tok Halaq pada keesokan harinay akan menceritakan perkara tersebut kepada isteri beliau. Isteri tok Halaq kemudiannya dengan cara yang beradat akan ke rumah si pesakit lalu menceritakan perkara berkenaan kepada pihak keluarga. Setelah mengetahui perkara tersebut, keluarga pesakit akan bertanya jenis-jenis ramuan yang diperlukan oleh Tok Halaq semasa bersewang. Ramuan ini adalah berbeza mengikut jenis penyakit. Sekiranya pesakit dirasuk hantu/penunggu, ramuannya agak sukar diperolehi kerana ia memerlukan bahan ramuan yang wangi dari pelbagai jenis bunga gunung.

Dalam situasi yang kedua pula, rayuan mengubati pesakit datangnya dari pihak keluarga dan dalam hal ini ibu pesakit akan menyampaikan hajat kepada Tok Halaq. Tok Halaq sebaik-baiknya pada waktu pagi ketika matahari sedang naik. Ibu pesakit perlu menjelaskan sakit anaknya, bagaimana penyakit dihidapi, lama sakit ditanggung dan sebagainya. Setelah restu diperolehi, Tok Halaq akan memberi jenis-jenis ramuan yang perlu pihak keluarga pesakit sediakan.

Perlu ditekaknkan di sini, acara sewang hanya dilakukan pada waktu malam antara jam 8 malam sehingga 6 pagi. Ia boleh berlaku sehingga beberapa malam berturut-turut disebabkan oleh beberapa perkara, antaranya ialah ia bergantung kepada tahap kekuatan semangat pesakit sendiri samada ia akan mendatangkan kesan sampingan atau tidak sekiranya penyakit dibuang secara serta-merta. Sekiranya diri pesakit sendiri kurang bersedia, ia akan menyebabkan tubuh pesakit menjadi semakin lemah, tidak berdaya dan ditimpa petaka lain.
Pantang Larang Semasa Bersewang

Semasa sewang berlangsung beberapa pantang harus dipatuhi, jika tidak penyakit tidak dapat diubati iaitu :

a) Orang-orang yang tiada kaitan dengan upacara ini tidak dibenarkan menyertai dan berada di balai sewang kecuali dengan kebenaran Tok Halaq sendiri. Orang luar yang tidak berkaitan dipercayai boleh menghalang semangat menghampiri balai dan tidak dapat memasuki tubuh Tok Halaq. Sekiranya Tok Halaq memberikan kebenaran, orang luar ini mesti menunggu sehingga acara selesai, tidak boleh turun naik balai dan tidak dibenarkan tidur.

b) Sewang mesti dilakukan di dalam gelap atau dalam cahaya yang samar-samar, bergantung kepada keseriusan sesuatu penyakit itu. Tujuannya untuk memudahkan semangat mendatangi Tok Halaq kerana suasana gelap dipercayai menjadi dunia ‘makhluk halus’. Oleh yang demikian semasa sewang perubatan berlangsung orang luar tidak dibenarkan mengambil gambar kerana cahaya akan mengejutkan semangat lalu melarikan diri semakin jauh. Semangat ini hanya dapat memerhatikan acara ini dari luar tanpa dapat membantu.

c) Suasana persekitaran mestilah tenang dan sunyi. Hanya suara dari bunyian dan kelengkapan sewang saja dibenarkan. Bunyi bising samada dari perbualan, kanak-kanak menangis, bunyi ayam atau kucing, salakan anjing dan sebagainya akan menggagalkan usaha mengubati penyakit malah dikatakan salakan anjing boleh mengejutkan Tok Halaq lalu melompat dari atas balai dan menghilangkan diri di hutan.

d) Sebarang pergerakan di bawah balai sewang ( di atas tanah) juga tidak dibenarkan termasuklah pergerakan manusia atau binatang. Semua orang dikehendaki berada di dalam rumah masing-masing kerana dipercayai pada masa tersebut banyak semangat-semangat berkeliaran termasuklah semangat jahat.


Pantang Larang Bagi Pesakit

a) Semasa berpantang, pesakit hendaklah dijauhkan dari bunyi bising dan hendaklah sentiasa berkeadaan tenang. Pesakit juga perlu mengelak menghidu bau-bau yang pedih seperti bau lada, bawang dan minyak.

b) Pesakit tidak boleh dikejutkan dengan bunyi kuat seperti letupan kerana dipercayai akibat dari sentakkan tersebut semangat pesakit semakin lemah.

c) Pesakit tidak boleh mandi bersabun, tidak dibenarkan berjalan di bawah panas matahari pada waktu tengah hari.

d) Keluarga pesakit tidak dibenarkan menebang pokok pisang atau pisang masak malah dalam keadaan yang lebih ekstrim, seluruh penduduk kampung dilarang berbuat demikian.

e) Keluarga pesakit yang baru balik dari ladang atau berburu hendaklah memanaskan badan mereka di dapur sebaik saja tiba di rumah.

Tempoh berpantang bagi pesakit seseorang pesakit bergantung kepada keseriusan penyakit yang dihidapi tetapi lazimnya antara 7 – 10 hari.



Adat Menutup Pantang (‘Certas/Cerentas’)

Apabila tempoh berpantang sudah tamat dan pesakit telah beransur pulih, upacara menutup pantang perlu diadakan. Antara lain ialah :

a) Pesakit hendaklah dibawa ke rumah Tok Halaq dengan membawa bersama beberap bahan seperti satu ikat daun palas beserta ramuan berbagai jenis bunga yang diletakkan di dalam mangkuk atau pinggan berwarna putih serta wang seberap yang termampu atau sehelai kain pelikat.

b) Sebaik-baiknya acara ini dilakukan pada waktu pagi, sebelum matahari naik.

c) Semasa hendak memberikan ‘hadiah’ kepada Tok Halaq, perkataan yang perlu disebut ialah “ini hadiah yang Tok Halaq tolong itu hari” dan hendaklah mengelak malah dilarang sama sekali menggunakan perkataan “ini cerentas (hadiah penutup pantang)”. Mengikut kepercayaan masyarakat Temiar sekiranya perkataan ini disebut ia menyebabkan Tok Halaq terkejut dan boleh memudaratkan diri Tok Halaq sendiri kerana perbuatan berkenaan menggambarkan Tok Halaq mengenakan bayaran. Keadaan ini membuatkan ‘makhluk halus’ atau ilmunya marah.

1 comment:

  1. Your Affiliate Money Printing Machine is waiting -

    Plus, making money online using it is as easy as 1-2-3!

    Here's how it all works...

    STEP 1. Input into the system what affiliate products the system will promote
    STEP 2. Add PUSH BUTTON TRAFFIC (it ONLY takes 2 minutes)
    STEP 3. Watch the system grow your list and upsell your affiliate products on it's own!

    Do you want to start making profits???

    Click here to start running the system

    ReplyDelete