Sunday, April 5, 2009

~ Definisi Orang Asli ~



Perkataan Orang Asli adalah perkataan dalam Bahasa Melayu yang dirujuk kepada “orang asal” iaitu manusia yang mula-mula mendiami negara ini. Perkataan asli berasal daripada perkataan Arab iaitu asliyyin yang membawa maksud asal.

Menurut undang-undang Malaysia Akta 134, dalam Akta Orang Asli 1954 semakan 1974, terdapat beberapa definisi Orang Asli. Antaranya:

Mana-mana individu yang mana bapanya ialah seorang ahli daripada kumpulan etnik Orang Asli dan lazimnya mengikut cara hidup, adat dan kepercayaan Orang Asli, termasuklah individu yang berketurunan melalui orang itu. Selain itu, ia didefinisikan juga sebagai mana-mana orang daripada mana-mana kaum yang diambil sebagai anak angkat semasa kanak-kanak oleh Orang Asli dan yang telah dibesarkan sebagai seorang Orang Asli, lazimnya bercakap bahasa Orang Asli, mengikut cara hidup Orang Asli dan adat serta kepercayaan Orang Asli ialah salah seorang ahli daripada masyarakat Orang Asli.

Seseorang itu disebut juga sebagai Orang Asli apabila anak daripada mana-mana penyatuan antara seorang perempuan Orang Asli dengan seorang lelaki daripada suatu kaum lain, dengan syarat bahawa anak itu lazimnya bercakap bahasa Orang Asli, mengikut cara hidup Orang Asli dan adat serta kepercayaan Orang Asli adalah seorang daripada ahli masyarakat Orang Asli. Mana-mana Orang Asli yang tidak lagi berpegang kepada kepercayaan Orang Asli oleh kerana dia telah memeluk mana-mana agama atau oleh kerana apa-apa sebab lain, tetapi dia masih mengikut cara hidup Orang Asli dan adat Orang Asli atau bercakap bahasa Orang Asli tidak boleh disifatkan sebagai tidak lagi menjadi Orang Asli semata-mata oleh sebab dia mengamalkan agama itu.

Panggilan Orang Asli sebenarnya digunakan bagi menggantikan nama-nama biasa yang digunakan oleh masyarakat lain seperti Orang Sakai, Darat, Pangan dan lai-lain lagi. Perubahan ini untuk mengelak dari rasa tersinggung dari kalangan Orang Asli yang mana ia tidak beretika dan tidak faham tentang norma sosial masyarakat lain dan mempunyai makna yang tidak baik, sekaligus tidak disukai oleh Orang Asli sendiri.

No comments:

Post a Comment