Sunday, April 5, 2009

~ Suku Temuan ~

Temuan merupakan salah satu suku kaum Orang Asli yang digolongkan ke dalam kelompok Melayu-Proto. Mereka bertutur di dalam dialek Melayu dan hampir 45% daripada corak hidup seharian mereka mempunyai persamaan dengan kehidupan masyarakat Melayu. Di Semenanjung Malaysia, mereka tinggal dan hidup berjiran dengan masyarakat melayu di beberapa buah kawasan seperti di negeri Selangor, Melaka, Pahang, daerah Muar, Johor dan Negeri Sembilan. Bagi masyarakat Temuan yang tinggal di Negeri Sembilan, mereka turut mengamalkan adat perpatih .Namun begitu budaya hidup mereka tidak banyak bezanya daripada suku bangsa Temuan di negeri lain.

Perkataan Temuan berasal daripada perkataan “temu” iaitu “jumpa”.Ianya juga bermakna “simpang” atau “pertemuan” atau tempat pertemuan suku-suku kaum bukit.Berkemungkinan inilah yang menyebabkan orang-orang Temuan memperolehi nama gelaran kaum mereka. Genetik mereka dikatakan hasil cantuman beberapa suku kaum asli dengan penduduk migran daripada Sumatera dan Jawa. Mereka bertutur di dalam dialek bahasa Melayu Asli yang dipercayai berasal daripada Jambi di selatan Sumatera. Di dalam sesebuah perkampungan Temuan, mereka tinggal secara berkumpulan sehingga 250 orang dengan mengamalkan “keluarga nuklear”. Orang-orang Temuan mempunyai ciri-ciri fizikal seperti berambut ikal mayang, berkulit cerah, mempunyai badan yang sederhana tegap bagi lelaki, berhidung lebar, berdahi luas dan mempunyai rupa paras yang mirip seperti orang-orang Melayu.

Secara tradisinya mereka menjalankan kegiatan memburu dan menangkap ikan di samping mengumpul hasil-hasil hutan. Mereka tidak menjalankan kegiatan penanaman padi seperti yang dilakukan oleh kebanyakkan masyarakat Orang Asli. Di kebanyakkan tempat, kaum Temuan masih menjalankan kerja-kerja pengutipan hasil-hasil hutan seperti mengumpul rotan, buluh, damar, dan kayu api .Selain untuk kegunaan sendiri, mereka turut menjual hasil-hasil yang diperolehi kepada peraih-peraih luar yang datang ke kampung mereka. Sudah menjadi tradisi masyarakat Orang Asli berjalan beribu-ribu batu jauh di dalam hutan untuk mendapatkan hasil-hasil hutan yang boleh dibuat perkakas harian dan bersifat komersial serta boleh mendatangkan pendapatan. Ketika masuk ke dalam hutan, kaum Temuan lazimnya akan membawa isteri dan anak-anak bersama bagi membantu mereka . Kini selain menjalankan kegiatan berbentuk tradisi tersebut, ada juga di kalangan pemuda dan pemudi kaum Temuan keluar daripada kawasan kampung mereka untuk bekerja makan gaji di dalam sektor-sektor kerajaan dan swasta.

Jika dilihat daripada segi kepercayaan, masyarakat Temuan merupakan penganut animisme. Walaubagaimanapun, beberapa adat resam mereka seperti adat perkahwinan dan perayaan-perayaan yang diraikan mempamerkan budaya dan kepercayaan masyarakat Melayu. Maka tidak hairanlah apabila ramai para pengkaji mengaitkan mereka dengan kebudayaan orang-orang Melayu. Kini ada juga segelintir daripada mereka telah menerima agama besar dunia seperti Islam dan Kristian.

No comments:

Post a Comment