Sunday, April 5, 2009

~ Sosio Budaya Temuan ~


Struktur Organisasi Masyarakat Temuan

Perlantikan Batin

Dalam masyarakat Temuan, Batin dilantik mengikut keturunan. Jika seseorang itu dilantik sebagai Batin, penggantinya mestilah dari pihak “Perut Perempuan” iaitu adik atau sepupu kepada Batin.Perlantikan Batin berdasarkan kepada ketokohan dan kebolehannya. Biasanya, seseorang yang hendak dilantik mestilah berpengetahuan luas tentang adat istiadat serta pantang larang. Pemilihan Batin juga mengambil kira aspek moral dan nilai-nilai murni diri seseorang itu selain daripada kewibawaan dan potensinya sebagai pemimpin.Sekiranya seseorang Batin itu meninggal dunia atau menolak jawatan, satu mesyuarat tergempar yang diuruskan oleh “Jurukerah” akan diadakan. Semasa perjumpaan ini, satu perundingan yang menggunakan “Bahasa Adat” (secara serius dan jujur) dijalankan. Ahli mesyuarat mestilah terdiri daripada “perut” yang sama dan mereka boleh menyandang jawatan Batin (telapak batin).Dalam mesyuarat ini Jurukerah memainkan peranan sebagai jurucakap.Setelah dipersetujui oleh semua ahli “seperut”, maka hari perlantikan Batin akan ditetapkan.Sekiranya seseorang Batin ingin meletak jawatan, satu mesyuarat ahli “seperut” juga diadakan di rumah Batin.Sekiranya alasan yang diberi munasabah seperti masalah kesihatan, maka perletakkan jawatan akan diterima. Jurukerah akan mengumumkan kepada anak buahnya tentang perletakkan jawatannya. Selain itu sekiranya Batin melakukan sesuatu kesalahan yang “melanggar adat”, dia boleh dilucutkan jawatan oleh “perut” dan pemilihan baru akan dibuat.Sebagai seorang Batin, ia berkuasa ke atas perkara-perkara berikut:

a) Pantang larang dan adat resam
b) Mengeluarkan arahan untuk bergotong royong.
c) Merestui perkahwinan dan mengahwinkan “kes”perkahwinan sesama suku.
d) Tempat menyelesaikan masalah, pergaduhan, perceraian dan sebagainya.
e) Membuka kampung dan ladang baru
f) Menentukan kawasan dan sempadan kampung, kediaman penduduk dan sempadan kuasa ahli-ahli yang dilantik.
g) Boleh mengubati pesakit atau menajdi bomoh secara tradisional
h) Menentukan perjalanan adat istiadat dan pantang larang yang telah dikuatkuasakan dan dipatuhi oleh seluruh penduduk kampung dan orang yang datang berhijrah dan pengunjung yang datang ke kampungnya.
i) Sebagai tempat perantaraan dan mendapatkan maklumat dari luar dengan masyarakat setempat.Berhubung dengan agensi kerajaan untuk memajukan kawasannya dan menyelesaikan masalah kampung dengan pihak berkuasa.Selain Batin, terdapat juga beberapa jawatan pembantu Batin seperti Menteri,Tok Jenang, Jurukerah, Panglima dan Pemangku.

Kelebihan Batin ialah :

a) Dihormati dan disegani.
b) Semua anak buah patuh pada arahannya.
c) Mempunyai bidang kuasa yang tinggi tetapi tertakluk pada adapt dan pantang.


Menteri (Penasihat Batin)

Menteri ialah seorang yang mahir dalam hal adat dan pantang larang serta memainkan peranan sebagai penasihat kepada Batin, Jurukerah dan Tok Jenang dalam menjalankan tugas harian lembaga adat. Walaubagaimanapun, beliau tidak boleh menjatuhkan hukuman.

Tok Jenang

Tok Jenang adalah katua Lembaga adat yang diwarisi secara keturunan.Beliau mempunyai bidang kuasa yang terhad dalam menjatuhkan hukuman.

Jurukerah

Diwarisi secara keturunan dengan mendapat persetujuan daripada Lembaga adat seluruh kampung.Beliau boleh menjatuhkan hukuman yang ringan dan menjadi wali (jurunikah) dalam adat istiadat perkahwinan.

Panglima

Dilantik oleh Batin setelah mendapat persetujuan daripada Lembaga adat.Pemilihan adalah berdasarkan kewibawaan dan kebolehan memimpin serta sifat yang disegani.Tugas utama panglima ialah menjaga dan mengurus kebajikan anak-anak buah.

Pemangku

Jawatan pemangku diwarisi secara keturunan. Ia menjalankan tugas yang diamanahkan oleh Batin serta berkuasa menjatuhkan hukuman.


1 comment:

  1. di mana saya boleh dapatkan no telefon PROF. PUAN SRI DR. FARIDAH ABDUL KARIM

    ReplyDelete