Sunday, April 5, 2009

~ Bahasa Pertuturan ~




Bahasa Temuan dan Melayu berkembang daripada dasar linguistik yang sama. Oleh itu persamaan perkataan yang digunakan dalam sehari-hari seperti “makan”, “jalan”, “lari”, “pusing”, “balik” dan yang sumpamanya hanya dibezakan melalui sebutan sahaja. Masyarakat Temuan juga dilihat cenderung untuk mengucapkan sesetengah konsonan seperti “d” dan “l” dan “n”dan”r” terutamanya apabila mereka menyebut sebutan terakhir dalam sesuatu perkataan. Umpamanya; “m’id” menjadi “m’in”. Nama orang dan tempat seperti “kelek” disebut menjadi “kenek”, “halus” menjadi “hanos” dan “Sudin” menjadi “ Surin”. Sebahagian daripada contoh-contoh bahasa Temuan adalah seperti di bawah:

~ Penempatan ~



Masyarakat Temuan banyak didapati di bahagian selatan Semenanjung Malaysia .Mereka hidup berjiran dengan masyarakat Melayu di beberapa buah kawasan di negeri Selangor, Melaka, Pahang, daerah Muar, Johor dan Negeri Sembilan. Mengikut bancian Jabatan Hal Ehwal Orang Asli sehingga tahun 2003 jumlah populasi mereka dianggarkan 22,165 orang. Pemilihan sesuatu petempatan atau perkampungan ditentukan oleh Batin dan anak buahnya dengan mengambil kira perkara-perkara berikut:

a) Batin dan anak buahnya mendapat alamat yang baik melalui mimpi
b) Kawasan tanah pamah yang berhampiran sungai
c) Kawasan itu tidak terletak di antara dua bukit (genting) kerana dipercayai tempat laluan hantu-hantu dan makhluk-makhluk halus
d) Tempat-tempat yang “keras”(berhantu)

~ Suku Temuan ~

Temuan merupakan salah satu suku kaum Orang Asli yang digolongkan ke dalam kelompok Melayu-Proto. Mereka bertutur di dalam dialek Melayu dan hampir 45% daripada corak hidup seharian mereka mempunyai persamaan dengan kehidupan masyarakat Melayu. Di Semenanjung Malaysia, mereka tinggal dan hidup berjiran dengan masyarakat melayu di beberapa buah kawasan seperti di negeri Selangor, Melaka, Pahang, daerah Muar, Johor dan Negeri Sembilan. Bagi masyarakat Temuan yang tinggal di Negeri Sembilan, mereka turut mengamalkan adat perpatih .Namun begitu budaya hidup mereka tidak banyak bezanya daripada suku bangsa Temuan di negeri lain.

Perkataan Temuan berasal daripada perkataan “temu” iaitu “jumpa”.Ianya juga bermakna “simpang” atau “pertemuan” atau tempat pertemuan suku-suku kaum bukit.Berkemungkinan inilah yang menyebabkan orang-orang Temuan memperolehi nama gelaran kaum mereka. Genetik mereka dikatakan hasil cantuman beberapa suku kaum asli dengan penduduk migran daripada Sumatera dan Jawa. Mereka bertutur di dalam dialek bahasa Melayu Asli yang dipercayai berasal daripada Jambi di selatan Sumatera. Di dalam sesebuah perkampungan Temuan, mereka tinggal secara berkumpulan sehingga 250 orang dengan mengamalkan “keluarga nuklear”. Orang-orang Temuan mempunyai ciri-ciri fizikal seperti berambut ikal mayang, berkulit cerah, mempunyai badan yang sederhana tegap bagi lelaki, berhidung lebar, berdahi luas dan mempunyai rupa paras yang mirip seperti orang-orang Melayu.

Secara tradisinya mereka menjalankan kegiatan memburu dan menangkap ikan di samping mengumpul hasil-hasil hutan. Mereka tidak menjalankan kegiatan penanaman padi seperti yang dilakukan oleh kebanyakkan masyarakat Orang Asli. Di kebanyakkan tempat, kaum Temuan masih menjalankan kerja-kerja pengutipan hasil-hasil hutan seperti mengumpul rotan, buluh, damar, dan kayu api .Selain untuk kegunaan sendiri, mereka turut menjual hasil-hasil yang diperolehi kepada peraih-peraih luar yang datang ke kampung mereka. Sudah menjadi tradisi masyarakat Orang Asli berjalan beribu-ribu batu jauh di dalam hutan untuk mendapatkan hasil-hasil hutan yang boleh dibuat perkakas harian dan bersifat komersial serta boleh mendatangkan pendapatan. Ketika masuk ke dalam hutan, kaum Temuan lazimnya akan membawa isteri dan anak-anak bersama bagi membantu mereka . Kini selain menjalankan kegiatan berbentuk tradisi tersebut, ada juga di kalangan pemuda dan pemudi kaum Temuan keluar daripada kawasan kampung mereka untuk bekerja makan gaji di dalam sektor-sektor kerajaan dan swasta.

Jika dilihat daripada segi kepercayaan, masyarakat Temuan merupakan penganut animisme. Walaubagaimanapun, beberapa adat resam mereka seperti adat perkahwinan dan perayaan-perayaan yang diraikan mempamerkan budaya dan kepercayaan masyarakat Melayu. Maka tidak hairanlah apabila ramai para pengkaji mengaitkan mereka dengan kebudayaan orang-orang Melayu. Kini ada juga segelintir daripada mereka telah menerima agama besar dunia seperti Islam dan Kristian.

~ Bangsa Orang Asli ~

Terdapat tiga kumpulan bangsa Orang asli. Antaranya ialah kumpulan Negrito, Melayu Proto dan Senoi. Setiap daripada bangsa tersebut terdapat beberapa suku kaum yang mana jumlah kesemuanya adalah 18 suku kaum.


**NEGRITO :


- Kensiu
- Kintak
- Lanoh
- Jahai
- Mendriq
- Bateq


**MELAYU PROTO :

- Orang Kuala
- Orang Kanaq
- Orang Seletar
- Jakun
- Semelai
- Temuan


**SENOI :

- Temiar
- Semai
- Semoq Beri
- Mahmeri
- Jahut
- Che Wong


NEGRITO

Kaum Negrito terdiri daripada rumpun bangsa Kensiu, Kintak, Lanoh, Jahai, Mendriq dan Bateq. Mereka mendiami kawasan di sekitar banjaran Titiwangsa yang berpusat kebanyakannya di sebelah utara Semenanjung.

Orang-orang Negrito dulu hanya akan berkahwin dengan kumpulan mereka dari lembah lain, tetapi dewasa ini, cara demikian bukan lagi jadi pegangan hidup mereka atau sesuatu yang perlu ditaati. Corak hidup mereka adalah lebih bebas dan mereka lebih suka memilih pasangan hidup mereka sendiri.



MELAYU PROTO

Kaum Melayu Proto mencakupi rumpun bangsa Temuan, Semelai, Jakun, Orang Kanaq, Orang Kuala dan Orang Seletar. Pada awalnya mereka tinggal di kawasan pantai, kuala atau pun kawasan-kawasan lembah. Kini mereka telah memiliki kawasan perkampungan mereka sendiri dan mengecapi kehidupan yang lebih selesa hasil daripada pembangunan yang dibawa oleh pihak kerajaan.


SENOI

Kaum Senoi mendiami kawasan lereng Banjaran Titiwangsa serta juga di sebelah pantai negeri Selangor. Ianya merangkumi kawasan di pedalaman negeri Perak, Kelantan, Pahang dan Terengganu. Terdapat enam suku kaum yang bernaung di bawah kategori kaum Senoi iaitu Che Wong, Mah Meri, Jahut, Semoq Beri, Semai dan Temiar.

~ Fakta Sejarah ~

Menurut para pengkaji sejarah, kepulauan Melayu telah mula diduduki oleh manusia yang dipanggil Austronesian atau Malayo-Polynesia sekitar 5,000 tahun dahulu. Mereka ini dikatakan berasal daripada Selatan China (Yunan) dan Taiwan. Penghijrahan mereka ke selatan adalah secara ’sporadic’, ’irregular’ dan ’incremental’. Bermula dari Filipina menganjur ke pulau-pulau Indonesia sehingga ke penghujung tanah besar Asia, pulau-pulau Pasifik dan Madagascar.

Majoriti Orang Asli di Malaysia (termasuk kaum Bumiputera) yang menghuni kawasan Indo-Malaya sekarang ini adalah keturunan daripada manusia Austranesian awal ini. Hasil daripada Banci Penduduk JHEOA 2004, jumlah populasi Orang Asli Malaysia ketika ini ialah seramai 149,723 orang. Mereka terbahagi kepada tiga Kaum utama iaitu, Melayu Proto (Proto-Malay), Negrito dan Senoi yang membentuk 18 Rumpun Bangsa.

~ Siapa Orang Asli ~


Istilah Orang Asli diperkenalkan dalam Bahasa Melayu pada tahun 1950an untuk merujuk kepada beberapa kelompok kecil manusia khususnya yang mendiami kawasan pedalaman dan kawasan-kawasan di pinggirannya di Semenanjung Malaysia. Barangkali, unsur-unsur misteri dan kekaburan dihubung kait dengan kewujudan dan asal-usul Orang Asli serta aspek magis dan ritual yang terkenal dikalangan mereka, maka Orang Asli sering dianggap masyarakat primitif.
Biasanya Orang Asli dibahagiakan kepada 3 kumpulan utama yang mempunyai ciri-ciri khusus iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto. Sejak beberapa abad yang lau, kadar percampuran dan interaksi antara ketiga-tiga kumpulan Orang Asli adalah begitu meluas sama ada melalui perdagangan, perkahwinan atau pun kontak akibat pelaksanaan projek-projek pembangunan di kawasan pedalaman.

Orang Asli sekarang boleh berkahwin dengan mana-mana kumpulan Orang Asli. Atas hakikat demikian, pembahagian kepada kumpulan Negrito, Senoi dan Melayu Proto sudah boleh dipertikai dan tidak lagi memberi gambaran sepenuhnya. Unsur-unsur baru yang diterima melalui pelaksanaan program pembangunan telah mengubah cara hidup mereka dan meletakkan diri mereka dalam perspektif yang baru.

Justeru itu, penggunaan istilah ‘primitif’ dan ‘mundur’ atau mempunyai nilai-nilai negatif dan menentang pembangunan kepada Orang Asli sudah lapuk dan tidak digunakan lagi. Ini adalah kerana sudah ramai diantara mereka yang menuntut di pusat pengajian tinggi dan ada yang telah berjaya di dalam bidang perniagaan serta bekerja sebagai pegawai eksekutif dalam sektor awam dan sektor swasta. Peta taburan Orang Asli hanya memberi gambaran taburan mereka secara rambang tetapi tidak lagi dapat memberi gambaran sejauh mana sempadan tersebut.

Sejak berakhirnya perang dunia kedua, Orang Asli memainkan peranan utama dalam politik membanteras ideologi dan gerakan bersenjata Komunisme. Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) ditubuhkan oleh pentadbiran Inggeris sebaik sahaja perang tamat. Ia bertujuan untuk mengawasi keadaan keselamatan negara ini. Keadaan demikian membuka lembaran baru dalam kehidupan Orang Asli iaitu zaman pertembungan dengan ideologi asing yang mana pada ketika itu amat sukar sekali difahami dan apatah lagi untuk diterima oleh mereka.

~ Definisi Orang Asli ~



Perkataan Orang Asli adalah perkataan dalam Bahasa Melayu yang dirujuk kepada “orang asal” iaitu manusia yang mula-mula mendiami negara ini. Perkataan asli berasal daripada perkataan Arab iaitu asliyyin yang membawa maksud asal.

Menurut undang-undang Malaysia Akta 134, dalam Akta Orang Asli 1954 semakan 1974, terdapat beberapa definisi Orang Asli. Antaranya:

Mana-mana individu yang mana bapanya ialah seorang ahli daripada kumpulan etnik Orang Asli dan lazimnya mengikut cara hidup, adat dan kepercayaan Orang Asli, termasuklah individu yang berketurunan melalui orang itu. Selain itu, ia didefinisikan juga sebagai mana-mana orang daripada mana-mana kaum yang diambil sebagai anak angkat semasa kanak-kanak oleh Orang Asli dan yang telah dibesarkan sebagai seorang Orang Asli, lazimnya bercakap bahasa Orang Asli, mengikut cara hidup Orang Asli dan adat serta kepercayaan Orang Asli ialah salah seorang ahli daripada masyarakat Orang Asli.

Seseorang itu disebut juga sebagai Orang Asli apabila anak daripada mana-mana penyatuan antara seorang perempuan Orang Asli dengan seorang lelaki daripada suatu kaum lain, dengan syarat bahawa anak itu lazimnya bercakap bahasa Orang Asli, mengikut cara hidup Orang Asli dan adat serta kepercayaan Orang Asli adalah seorang daripada ahli masyarakat Orang Asli. Mana-mana Orang Asli yang tidak lagi berpegang kepada kepercayaan Orang Asli oleh kerana dia telah memeluk mana-mana agama atau oleh kerana apa-apa sebab lain, tetapi dia masih mengikut cara hidup Orang Asli dan adat Orang Asli atau bercakap bahasa Orang Asli tidak boleh disifatkan sebagai tidak lagi menjadi Orang Asli semata-mata oleh sebab dia mengamalkan agama itu.

Panggilan Orang Asli sebenarnya digunakan bagi menggantikan nama-nama biasa yang digunakan oleh masyarakat lain seperti Orang Sakai, Darat, Pangan dan lai-lain lagi. Perubahan ini untuk mengelak dari rasa tersinggung dari kalangan Orang Asli yang mana ia tidak beretika dan tidak faham tentang norma sosial masyarakat lain dan mempunyai makna yang tidak baik, sekaligus tidak disukai oleh Orang Asli sendiri.